Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 7

Bersiap-siap ke pejabat adalah perkara rutin yang telah menjadi amalan otomatik buat aku. Mandi, berpakaian, menaiki lif menuruni bangunan flat, menghisap sebatang rokok sambil menunggu enjin kereta dipanaskan dan memandu melalui rangkaian jalan-jalan yang biasa ke pejabat. Semuanya itu dibuat seolah-olah dalam keadaan separuh sedar. Perjalanan dari Ampang ke Shah Alam yang jauh pun tidak terasa. Tahu-tahu sahaja aku sudah pun berada di pejabat. Begitulah keadaan hidup di kotaraya. Ibarat mayat hidup, Sang Zombie.

Aku tiba di pejabat awal. Sebaik melangkah ke ruang kaunter Bahagian Perakaunan, aku segera mengeluarkan kad pekerja berwarna putih dan melekapkannya ke sebuah kotak kecil berwarna kelabu tua. Kotak itu berbunyi, “Bip!” Bersama bunyi itu secara rasminya aku direkodkan sebagai telah masuk ke pejabat. Jam menunjukkan 7 pagi. Masih ada satu jam setengah lagi sebelum waktu clock-in akan berakhir.

‘Sempat breakfast lagi ni,’ kata hati aku.

Beg galas yang aku sandang segera aku tanggalkan. Aku meletakkan beg usang yang telah aku guna sejak zaman universiti itu di atas meja kerja yang diamanahkan kepada aku.

Ketika melangkah melalui lorong 100 meter yang memisahkan pejabat perakaunan dengan bahagian-bahagian yang lain, aku menegur Kak Ros, pekerja am berbangsa Indonesia yang sedang menyapu lantai di lorong tersebut. Teguran aku itu tidak disahut oleh Kak Ros. Mungkin wanita itu sedang sibuk memikirkan ehwal keluarga yang dirinduinya di Indonesia.

Aku masuk ke café yang terletak berdepan dengan bangunan hangar. Café itu besar tetapi ringkas strukturnya. Pengunjung café ini kebanyakannya adalah pekerja-pekerja yang bekerja di pejabat-pejabat yang berhampiran. Pemiliknya ialah seorang lelaki peramah yang berasal dari Ipoh bernama Zainudin. Kami memanggilnya Abang Din.

Selepas mengambil segelas kopi tanpa susu dan sepinggan nasi lemak, aku duduk di sebuah meja yang kosong. Tidak sampai dua minit, nasi lemak telah habis aku makan tanpa bersisa. Selepas seteguk kopi membasahi tekak, aku pun menyalakan sebatang rokok Marlboro.

Ingatan yang menjengah di awal pagi tadi kembali menjelma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan