Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 5

Aku bekerja dengan syarikat milik penuh sebuah syarikat awam, yang menjadi pengimport, penjual, pembekal alat-alat ganti dan wakil penyelenggara rasmi kepada sebuah jenama kenderaan mewah dari Jerman. Bangunan pejabat syarikat itu ialah sebuah bangunan yang moden dan besar binaannya. Bumbungnya melengkung seperti sebuah hangar tempat penyelenggaraan kapal terbang. Kesemua dindingnya pula adalah kaca dengan keluli sebagai rangkanya.

Sebagai menjelaskan gambaran tempat kerja aku, sekarang aku akan bawa kalian untuk sesi orientasi. Ini untuk menerangkan susunatur bangunan pejabat dan juga watak-watak manusia di dalamnya.

Memasuki pintu depannya, kalian akan mendapati ruang penyambut tetamu sebaik sahaja melepasi satu ruang yang digunakan sebagai ruang menunggu. Sofa-sofa moden dibalut dengan kulit lengkap dengan meja kopi menghiasi ruang menunggu tersebut. Penyambut tetamu yang ditugaskan menjaga ruang itu adalah seorang gadis muda yang cantik, berpenampilan menarik, seksi dan peramah bernama Nurdina Binti Salleh dan berasal dari Kelantan. Dia selesa memperkenalkan dirinya sebagai Dina.

Gadis itu aku sifatkan sebagai seorang yang baik kerana dia melayan baik semua orang tidak kira peringkat jawatan sama ada tinggi atau rendah. Dia juga pernah aku lihat berbicara dengan sopan dengan wanita-wanita tukang bersih berbangsa Indonesia yang juga bekerja di kompleks tersebut.

Dina ialah seorang perokok dan merupakan teman merokok aku ketika aku mencuri tulang melakukan aktiviti tersebut. Kami menggelarkan diri kami smokin’ buddy. Ramai lagi perokok lain di bangunan itu tetapi Dina memilih hanya untuk merokok bersama aku.

Selepas melalui ruang penyambut tetamu kalian akan sampai ke bahagian pameran. Di situ dipamerkan setiap model kereta jenama buatan Jerman yang aku maksudkan tadi. Bermula dari model kelas yang paling rendah sehinggalah kepada kelas yang paling tinggi.

Dekorasi di bahagian pameran sangat eksklusif, mewah dan teratur. Maklumlah, bahagian itu sering dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan atau prospek-prospek pelanggan yang kebanyakannya adalah jenis orang yang berduit atau sekurang-kurangnya bergaya dan berlagak seperti orang berduit.

Di bahagian pameran itulah Bahagian Jualan atau Sales Department menjalankan fungsi dan operasinya. Pegawai-pegawai jualan, yang semuanya berpenampilan menarik dan kemas lengkap dengan aksesori mahal di tubuh masing-masing, ada sepuluh orang semuanya. Enam orang berbangsa Melayu dan empat orang berbangsa Cina. Enam lelaki dan empat perempuan. Majid, Zul, Aziz, Anuar, Khairudin, Danny, Azi, Cindy, Deanna dan Sally.

Kesemua pegawai-pegawai jualan atau lebih popular dengan panggilan salesman dan salesgirl itu masih bujang kecuali Majid dan Zul yang selesa aku panggil sebagai Encik Majid dan Encik Zul. Mereka berdua itu adalah senior dalam Bahagian Jualan dari segi pengalaman dan juga dari segi umur. Keduanya berumur dalam lingkungan awal 50-an. Perwatakan mereka berdua hampir sama. Tenang, bersahaja dan peramah. Bahkan mereka berdua amat akrab hinggakan ramai yang menggelar mereka sebagai adik-beradik walaupun sebenarnya mereka tidak mempunyai kaitan darah sama sekali antara satu sama lain.

Semua salesman yang masih bujang sering melepak bersama dan kelihatan seolah-olah sehati sejiwa. Tetapi hakikatnya mereka sebenarnya bersaing antara satu sama lain. Maklumlah, pendapatan pegawai-pegawai jualan adalah bergantung kepada komisen jualan mereka. Oleh itu, mereka sangat bersaing dalam mendapatkan jualan tertinggi setiap bulan.

Danny, pemuda berbangsa Cina berasal dari Gombak, ialah yang paling agresif dalam membuat jualan. Jualan beliau juga sering mencapai hasil tertinggi berbanding rakan-rakan salesman yang lain. Walaubagaimanapun, ada satu persamaan di kalangan anak-anak muda itu. Mereka sangat aktif berseronok-seronok dan berfoya-foya. Kumpulan pemuda-pemuda itu adalah pengunjung tetap pusat-pusat hiburan terkemuka di ibukota. Sebut sahaja party dan event terkini, mereka pasti hadir.

Di kalangan salesgirl pula macam-macam kerenah dan dramanya kecuali Azi, atau nama sebenarnya Azila Binti Yaakob. Gadis itu ialah seorang yang peramah dan selalu tersenyum. Aku tak pasti sama ada dia tersenyum ikhlas atau tabiat selalu tersenyum itu terbentuk dari kerjayanya di bidang jualan. Yang pasti, senyumannya berupaya mencairkan hati-hati lelaki yang memandang. Namun, Azi jelas tidak bercampur-gaul dengan teman-teman salesgirlnya yang lain. Dia sering dilihat bersama Aziz, Anuar, Khairudin dan Danny, teman-teman salesmannya yang bujang itu. Gadis itu juga dikhabarkan sering ikut serta berpesta bersama-sama kumpulan pemuda-pemuda tersebut.

Manakala Cindy, Deanna dan Sally pula, terlalu banyak drama di kalangan gadis-gadis berbangsa Cina itu. Untuk menceritakan setiap satu kerenah mereka itu, pasti aku akan berjaya menulis satu lagi buku berasingan yang tebal bilangan mukasuratnya dan berupaya dijual mencapai tahap bestselling. Satu persamaan yang ada pada mereka bertiga adalah sikap mereka yang tidak suka bergaul dengan kakitangan-kakitangan syarikat yang berpangkat lebih rendah dari Eksekutif.

Ketiga-tiga gadis itu hanya bertutur dalam Bahasa Inggeris. Walaubagaimanapun, aku sering mengkelaskan Bahasa Inggeris yang mereka tuturkan sebagai Inggeris Cina Bukit kerana teruknya tatabahasa yang mereka gunakan. Yang pastinya, persaingan antara ketiga gadis itu sangat ketara dan telah menjejaskan hubungan antara satu sama lain.

Dina pernah memberitahu aku ketika kami sedang merokok di belakang bangunan hangar, khabar angin mengatakan Cindy mempunyai hubungan sulit dengan pengurus jualan, Bernard Lim. Gadis penyambut tetamu itu suka mengumpulkan cerita-cerita panas dan sangat gemar menyampaikannya kepada aku.

Pernah aku bertanya kepadanya, “Kenapa U suka cerita gossip kat I?”

Gadis itu menjawab, “Sebab bila I cerita kat U, cerita tu tak tersebar. Tapi kalau I cerita kat orang lain, kejap je dah kecoh satu Malaya.”

Sememangnya aku tidak suka mengambil tahu urusan peribadi sesiapa pun. Setiap kali Dina menceritakan apa-apa cerita panas, aku akan mendengarnya dengan wajah tidak berperasaan. Samalah halnya dengan kisah berkaitan dengan Cindy. Aku langsung tidak berminat untuk membuktikan kebenaran cerita yang disampaikan oleh gadis seksi itu.

Kembali kepada sesi orientasi kita. Di atas lantai yang sama, dengan dipisahkan oleh dinding ruang pameran, wujud satu dunia yang berbeza dari suasana di Sales Department. Terletak di bahagian belakang kompleks, dua bahagian berkongsi ruang yang paling besar dalam bangunan tersebut. Bahagian-bahagian tersebut adalah Bahagian Jualan Alat Ganti dan Bahagian Penyelenggaraan. Sebahagian besar ruang yang diambil oleh Bahagian Jualan Alat Ganti adalah stor untuk menyimpan stok-stok alat-alat ganti.

Bahagian Penyelenggaraan atau Service Department merupakan khidmat lepas jualan yang ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan yang membeli kenderaan-kenderaan jenama Jerman tersebut. Perkhidmatan yang disediakan adalah sama seperti yang ditawarkan oleh bengkel-bengkel membaikpulih kenderaan yang lain. Yang membezakannya hanyalah ia adalah sebuah bengkel yang mewah sesuai dengan jenama tersebut.

Peralatannya moden dan berteknologi tinggi. Apabila sebuah kereta dibawa masuk, mekanik hanya perlu menyambungkan papan komputer yang ada dalam kenderaan tersebut dengan komputer selenggaraan. Maka, seluruh pelan kenderaan tersebut akan dipaparkan di skrin komputer. Komputer akan terus memaparkan perkara-perkara yang menjadi masalah di kenderaan tersebut. Bahagian-bahagian yang perlu diganti beserta nombor sirinya juga akan turut terpapar.

Aku adalah seorang yang tradisional apabila berbicara tentang perkara-perkara otomotif. Oleh itu, aku masih belum dapat menerima hakikat bagaimana enjin yang penuh dengan grease dan kotoran dapat dihubungkan dengan paparan komputer. Ternyata dunia otomatif moden telah bergerak maju dengan begitu jauh.

Anggota-anggota bahagian Service Department kebanyakannya adalah pakar-pakar dalam bidang otomotif sama ada berjawatan jurutera atau mekanik. Dapat dibezakan dengan mudah antara jurutera dan mekanik. Jurutera-jurutera berpakaian kemas lengkap bertali-leher dan hanya ada beberapa orang sahaja. Beberapa orang daripada jurutera-jurutera tersebut didatangkan khas dari Jerman.

Manakala mekanik-mekanik yang ada di situ berpakaian overall dan comot dengan kesan-kesan minyak di sana-sini. Aku mempunyai ramai kawan di kalangan mekanik yang rata-ratanya berperangai gila-gila. Mekanik-mekanik itu sering mengusik dan memikat Dina. Namun Dina yang bersikap terbuka tidak pernah marah kepada mereka bahkan menjawab secara berjenaka setiap usikan mereka. Walaubagaimanapun, mekanik-mekanik itu selalu cemburukan aku kerana terpilih menjadi smokin’ buddy gadis penyambut tetamu tersebut.

Di sebelah ruang penyambut tetamu, stesen alatulis dan mesin fotokopi yang moden tersedia untuk kegunaan penyambut tetamu dan kakitangan-kakitangan jualan. Di sebelah stesen tersebut, kalian akan menemui tangga ke tingkat atas.

Di bahagian atas kompleks itu, terdapat banyak lagi pejabat-pejabat yang dipisahkan oleh dinding-dinding bilik dan ruang mengikut fungsi-fungsi bahagian yang berbeza. Sebaik menaiki tangga, kalian akan menemui di sebelah kanan, satu lagi stesen alatulis dan fotokopi. Di sebelah stesen itu pula kelihatan sederet bilik-bilik berdinding dan berpintu kaca. Bilik-bilik itu menempatkan semua pengurus-pengurus bagi bahagian-bahagian Pentadbiran, Jualan, Jualan Alat ganti, Penyelenggaraan dan Pemasaran.

Di sebelah kiri, iaitu berdepan dengan deretan pejabat-pejabat pengurus itu pula terdapat satu ruang luas yang dipenuhi dengan petak-petak stesen kerja yang sering kami panggil sebagai workstation cubicles. Di situlah ruang kerja bagi kakitangan-kakitangan Bahagian Pemasaran dan lain-lain kakitangan Bahagian Pentadbiran.

Selepas ruang itu kalian akan menemui dua pejabat eksklusif dan mewah di sebelah kiri, yang masing-masingnya menempatkan CEO (Pengerusi) dan GM (Pengurus Besar) syarikat itu. Berdepan dengan dua bilik itu adalah sebuah bilik mesyuarat yang besar dilengkapi alatan-alatan dan perabot-perabot moden.

Di kalangan semua kakitangan, kawasan itu digelar sebagai yellow zone. Sekiranya kalian berpeluang melihat ke ruang tersebut, kalian akan merasa hairan kerana dekor ruangan itu tidak langsung menggunakan warna kuning sebagai warna asasnya. Gelaran itu adalah tidak rasmi. Ia hanyalah metafora yang dibuat kerana mengambil persamaan warna kuning sebagai warna diraja. Maka ruang itu dirujuk kepada warna tersebut kerana fungsi kedua-dua pegawai itu di dalam syarikat adalah ibarat raja dalam sebuah negeri atau negara.

Di ruang legar yellow zone itu terdapat sebuah meja yang merupakan stesen kerja yang ditanggungjawabkan untuk setiausaha CEO, iaitu seorang wanita di awal 40-an bernama Zarina Binti Abdul Kadir atau mesra dikenal sebagai Cik Zarina. Walaupun telah berumur, Cik Zarina masih kelihatan cantik dan penampilannya sangat terjaga rapi membuatkan kalian akan menyangka beliau masih di awal usia 30-an. Bukan sekadar penampilannya yang kemas dan rapi, malah pertuturannya juga sangat baik. Wanita itu sangat teratur apabila bertutur dalam bahasa ibunda dan sangat fasih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Bersebelahan stesen kerja Cik Zarina, stesen alatulis dan fotokopi ketiga tersedia untuk kegunaan khas di Yellow Zone tersebut. Bersebelahan stesen alatulis dan fotokopi tersebut kalian akan menemui sebuah pintu besar bersaiz 7 kaki panjang dengan 6 kaki lebar.

Berdiri di muka pintu itu, kalian akan melihat satu lorong sepanjang 100 meter. Dinding kiri lorong itu adalah kaca bertulangkan besi keluli, sekaligus berfungsi sebagai jendela yang mempamerkan pemandangan luar bangunan. Dinding kanan lorong itu pula ialah papan lembut guna untuk menampal memo, pengumuman atau apa-apa pemberitahuan rasmi untuk rujukan semua kakitangan di setiap bahagian.

Di penghujung papan kenyataan dan juga penghujung lorong tersebut, terdapat sebuah lagi pintu bersaiz yang sama dengan pintu di permulaan lorong. Menjengah ke muka pintu itu, kalian akan mendapati dua lagi pintu. Kedua pintu ini yang bersaiz 7 kaki panjang dengan 3 kaki lebar, terbina sebelah-menyebelah antara satu sama lain.

Pintu sebelah kanan ialah bilik yang kami gelar sebagai bilik sejukbeku. Di situlah komputer pelayan atau server yang menjadi hab perhubungan seluruh sistem maklumat di syarikat itu ditempatkan. Komputer itu beroperasi 24 jam sehari, tidak pernah dimatikan sejak pejabat itu mula beroperasi beberapa tahun yang lalu. Walaupun komputer pelayan itu memang direka untuk tahan lebih lasak berbanding komputer biasa, ia masih perlu ditempatkan di dalam bilik yang bersuhu rendah untuk mengelakkan peralatan penting itu menjadi terlalu panas dan rosak. Oleh kerana itulah suhu di bilik itu lebih rendah dari suhu di bilik-bilik lain di bangunan itu. Sesuai dengan keadaan itulah maka nama bilik sejukbeku diberikan kepadanya.

Bilik sejukbeku dipertanggungjawabkan kepada dua orang kakitangan Bahagian Pentadbiran. Kedua-duanya sebagai juruteknik teknologi maklumat bernama Razali Bin Ahmad dan Alan Liew. Dua orang juruteknik itu tidak sehaluan.

Pernah aku tanyakan soalan mengapa mereka tidak bergaul walaupun duduk dalam bahagian dan fungsi yang sama. Jawab Razali atau lebih suka dipanggil dengan nama Leeroy, “Malas aku nak campur dengan budak nerd tu.” Yang menghairankan bahkan menakjubkan ialah apabila soalan yang sama aku ajukan kepada Alan, pemuda berbangsa Cina itu memberikan jawapan yang sama.

Aku terfikir mungkin mereka sebenarnya berlakon tidak bergaul tetapi sebenarnya mereka adalah sehati dan sejiwa. Atau sekiranya aku ingin membuat andaian yang lebih berimaginasi begini bunyinya, ‘Mungkin minda mereka terikat dalam gelombang di frekuensi yang sama tanpa mereka sedar.’ Walau apa pun, semua andaian itu tidaklah penting kerana ia tidak mungkin akan menaikkan gaji bulanan aku sama sekali.

Berbalik kepada orientasi kita, di sebalik pintu yang satu lagi iaitu di sebelah kiri bersebelahan dengan bilik sejukbeku itulah terletaknya Bahagian Perakaunan atau Accounts Department di mana aku bekerja. Ruang pejabat yang besar ini terletak di hujung bangunan. Tingkap-tingkap yang ada di sini memandang ke arah tempat letak kenderaan kakitangan, yang juga merupakan bahagian belakang hangar itu.

Memasuki pintu utama pejabat Bahagian Perakaunan ini kalian akan menemui satu ruang yang berupa sebuah kaunter. Di situlah sahaja had bagi sesiapa yang ingin berurusan dengan bahagian ini. Apa-apa penyerahan dokumen atau pengambilan bayaran hanya akan dibuat di kaunter itu.

Seorang gadis kerani kaunter bernama Nur Sabrina Binti Abdul Ghani ditugaskan di situ. Gadis berusia 27 tahun yang belum berkahwin itu telah bekerja di kaunter itu sejak mula-mula syarikat itu dibuka. Kaunter itu juga adalah medan latihan awal bagi kakitangan yang berjawatan lebih rendah dari Eksekutif yang mula menyertai Bahagian Perakaunan. Aku juga pernah berada di situ, duduk belajar di samping Nur Sabrina atau mudah dikenal dengan nama Ina selama empat bulan pertama perkhidmatan aku.

Gadis yang bertubuh gempal itu berwajah tidak berperasaan. Kalau silap cara meminta darinya akan mendapat semburan kata-kata marah atau sindiran pedas secara percuma darinya. Tetapi sekiranya, kalian mengambil inisiatif untuk bercakap dengannya secara lemah lembut dan bersopan, gadis itu akan mengembalikan komunikasi dengan budi bicara yang setimpal juga. Bahkan kalian mungkin akan berpeluang melihat senyuman manis gadis tersebut. Aku berkata begini kerana begitulah cara aku berinteraksi dengan Ina selama 4 bulan ketika belajar tentang dokumentasi asas syarikat darinya. Sehingga kini pun aku masih bercakap dengan gadis itu dengan cara yang sama.

Di bahagian belakang kaunter, tersedia sebuah pintu. Pintu itu membawa masuk ke keseluruhan Bahagian Perakaunan. Sebaik memasuki ruang pejabat Bahagian Perakaunan, suasana senyap sunyi ibarat suasana sebuah kubur purba terus menyelubungi. Petak-petak stesen kerja terbentang di atas lantai pejabat itu. Kakitangan yang ditugaskan di petak-petak di situ disusun mengikut pangkat. Jawatan paling rendah berada di bahagian paling dekat dengan pintu masuk dan keluar.

Oleh itu, kalian akan mula-mula menemui Jalil atau nama penuhnya Abdul Jalil Bin Osman, budak penghantar surat atau office boy yang berasal dari Jitra, Kedah. Stesen kerjanya ringkas. Sebuah meja dilengkapi dengan sebuah komputer. Sekiranya dia tidak keluar menghantar dokumen, topi keledarnya yang sering dibangga-banggakan sebagai topi keledar hikmat akan menjadi sebahagian perhiasan mejanya.

Di pejabat, Jalil ditugaskan membuka surat-surat yang sampai, menandakan tarikh terima pada surat-surat itu dengan menggunakan cop terima Bahagian Perakaunan. Kemudian beliau akan mengasingkannya untuk diedarkan kepada individu-individu bertanggungjawab yang akan memproses dokumen-dokumen tersebut.

Pemuda itu baru berusia 19 tahun. Jalil datang ke ibukota untuk mencuba nasib dengan hanya bermodalkan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM dan juga lesen memandu kenderaan kelas B2 yang membolehkan seseorang menunggang motosikal dengan silinder enjin bersaiz kurang dari 250 sentimeter padu atau lebih mudah disebut sebagai 250 cc.

Pemuda itu seorang yang berperwatakan gila-gila. Dia sangat rapat dengan para mekanik di bahagian penyelenggaraan. Setiap masa dia tampil dengan jenaka-jenaka yang dituturkan dalam dialek utara yang pekat.

Berhampiran petak kerja Jalil, kalian akan menemui tiga lagi kerani-kerani akaun. Siti Zahariah Binti Kamarudin, Sangetha Anak Perempuan Gobinathan dan Fariza Isha Binti Ramli, yang masing-masingnya mempunyai fungsi dan tanggungjawab berbeza. Ketiga-tiga gadis muda itu berusia di awal 20-an.

Melepasi barisan kerani-kerani tadi, kalian akan menemui pula tiga orang pembantu-pembantu akaun, Iris Chong, Suhairy Mazlan Bin Mohamad Omar dan aku, Alif Iman Bin Abdul Razak. Meningkat ke jawatan yang lebih tinggi, tiga orang Eksekutif Akaun, David Leong, Anabelle Lau dan Balakrishnan Anak Lelaki Chandran, ditempatkan di petak-petak yang lebih besar berbanding petak-petak kami pembantu-pembantu akaun dan kerani-kerani akaun.

Di hujung pejabat itu, tiga bilik berdinding dan berpintu kaca dibina. Antara ketiganya satu bersaiz lebih besar berbanding dua yang lain. Ia adalah bilik mesyuarat bagi kakitangan-kakitangan Bahagian Perakaunan.

Bagi kedua bilik yang kecil pula, bilik yang pertama menempatkan pembantu akauntan, Adlina Amelia Binti Yusuf Ali yang kami panggil sebagai Puan Adlina, seorang wanita berusia 35 tahun yang juga ibu kepada 3 orang anak. Prestasi dan ketajaman mindanya sangat menakjubkan. Oleh itu, dalam usia yang masih muda Puan Adlina telah pun menjadi orang nombor dua dalam department.

Manakala bilik yang kedua dikhaskan kepada boss kami, akauntan syarikat, Silvia Preira. Beliau ialah seorang wanita berbangsa Serani dari Melaka. Wanita ini berumur dalam lingkungan akhir 40-an dan belum berkahwin. Kami memanggilnya Miss Silvia.

Organisasi Bahagian Perakaunan diketuai oleh Miss Silvia. Miss Silvia memantau perjalanan kewangan syarikat secara keseluruhan. Laporan-laporannya sangat penting untuk digunakan oleh CEO dan GM serta berguna kepada pengurus-pengurus yang lain juga.

Di bawahnya, Puan Adlina mengetuai ketiga-tiga eksekutif. Eksekutif-eksekutif ini menjalankan fungsi-fungsi perakaunan yang berlainan. Fungsi-fungsi tersebut adalah Akaun Am, Penerimaan dan Pembayaran.

Di seksyen Akaun Am, diketuai oleh eksekutifnya David Leong, pembantu akaunnya Iris Chong dan kerani-keraninya Siti Zahriah, Nur Sabrina dan Jalil. Seksyen itu bertanggungjawab untuk mengendalikan transaksi-transaksi selain dari penerimaan dan pembayaran. Lazimnya kami rujuk sebagai transaksi-transaksi luarbiasa yang menyebabkan anggotanya kelihatan lebih kusut kerana kerumitan transaksi-transaksi yang mereka kendalikan.

Di seksyen Penerimaan yang berhubung secara langsung dengan bahagian jualan dan apa sahaja sumber-sumber kemasukan kekayaan syarikat yang lain. Eksekutif yang dipertanggungjawab mengetuainya ialah Anabelle Lau, pembantu akaunnya Suhairy Mazlan dan keraninya Sangetha.

Manakala di bahagian Pembayaran pula, segala kebocoran sumber kekayaan syarikat akan dipantau. Kesahihan dan keaslian sesuatu pembayaran seperti kos-kos perkhidmatan yang dibuat oleh vendor, pembelian stok-stok dan lain-lain, akan ditentusahkan di seksyen ini. Inilah seksyen di mana aku ditugaskan. Eksekutifnya ialah Balakrishnan yang biasa aku panggil sebagai Bala, aku sebagai pembantu akaunnya dan kerani kami Fariza Isha, seorang gadis kecil molek dari Besut, Terengganu.

Lokasi Bahagian Perakaunan secara fizikalnya tersisih dari dunia luar. Kedudukan pejabat yang terletak di bahagian paling jauh dari bahagian-bahagian lain itu aku sifatkan seperti bahagian paling jauh di dunia. Lorong sepanjang 100 meter yang memisahkan kami dengan bahagian-bahagian lain terasa oleh aku seperti 1 kilometer jauhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan