Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 8

Suasana kafe di pagi itu serupa dengan keadaan kafe di universiti di mana aku minum bersama Maya buat pertama kali. Sebaik sahaja memasukinya kami pun duduk di satu sudut yang agak terasing dari pengunjung yang lain. Aku masih ingat irama lagu Creep dendangan kumpulan Radiohead menjadi latarbelakang suasana ketika itu. Seorang pelayan datang mengambil pesanan dengan ramah. Selepas itu, pelayan itu pun meninggalkan kami.

Maya mengambil sebuah cermin kecil dari beg tangannya dan terus membelek-belek wajahnya dari cermin itu.

“Alamak, habis muka I!” katanya.

Aku hanya mendiamkan diri tidak memberikan sebarang komen. Gementar dan gugup masih menguasai aku.

“Kenapa aku dah lama tak nampak kau dengan budak-budak kelas kita tu dulu?” aku menyoal, memberanikan diri memulakan bicara.

Maya begitu sibuk membetulkan mekap di wajahnya yang rosak akibat tangisannya sebelum itu. “Macamana I nak join kelas kita tu lagi, kalau paper semester satu pun ada yang I tak lepas lagi?” sempat juga dia menjawab tanpa mengalihkan perhatiannya dari cermin dan kerja-kerja bermekap yang dibuatnya dengan bersungguh-sungguh itu.

Sebentar tadi gadis itu menangis bersungguh-sungguh kerana risaukan pelajarannya. Tetapi kini, suaranya menggambarkan yang dia tidaklah begitu ambil kisah dengan apa yang berlaku. Aku kehairanan dengan perubahan moodnya yang mendadak.

“Teruk sangat ke?” Begitu naif aku menyoalnya.

Maya hanya menjawab dengan cebikkan di bibir sambil mengangkat kedua bahunya. Aku mengandaikan terjemahan kepada bahasa tubuhnya itu berbunyi, ‘Yes, my study was indeed very bad or should I say, I’m in deep shit. But I don’t really give a damn about it.’

So, kau nak buat apa sekarang?” aku masih ambil berat dan ingin tahu secara ikhlas.

Gadis itu mengulang bahasa tubuh yang sama sebagai menjawab soalan aku. Kedua kami mendiamkan diri buat seketika. Kerisauan aku terhadap gadis itu bercambah. Fikiran aku ligat memikirkan apa yang boleh aku buat atau cadangan apa yang boleh aku berikan kepadanya sebagai jalan penyelesaian.

“Kalau kau nak, aku boleh tutor kau,” tanpa berfikir panjang aku memberikan cadangan kepadanya. Sebaik habis bercakap, aku terus sedar yang aku telah tersilap cakap. Sebenarnya, aku sendiri tidak cukup masa untuk pelajaran aku. Apatah lagi untuk mengajar gadis itu. Subjek-subjek kursus semakin bertambah sukar. Aku sendiri harus menumpukan perhatian yang lebih untuk pelajaran aku.

‘Kau dah gila, Alip?’ protes hati aku sendiri.

Tetapi semuanya telah terlambat kerana sebaik mendengar perkataan aku itu tadi, wajah Maya berubah menunjukkan riak kegembiraan. Dia terus berkata dalam nada suara hampir menjerit, “Really?”

Melihatkan wajahnya itu, aku tidak sampai hati untuk membetulkan perkataan aku. Selama hampir dua tahun aku memerhatikan wajah itu dari jauh. Keinginan untuk berbicara dengan gadis itu berulang kali datang ke fikiran aku. Sekarang, peluang telah terbentang di depan mata aku. Aku pun menjawab ringkas, “Yes.” Namun aku sendiri masih lagi tidak pasti dengan jawapan aku itu. Nampaknya rasional tidak lagi dapat memandu tindakan apabila keinginan nafsu telah mengambil alih.

Wow, this is so great! Best-student jadi my tutor. Bila kita nak mula?” mata gadis itu bersinar gembira.

Semuanya berlaku dengan pantas. Aku masih lagi terpinga-pinga cuba menangkap apa sebenarnya yang sedang berlaku ketika itu. Namun, satu perkara yang pasti, aku berasa gembira kerana selepas dari saat itu aku akan berpeluang bersama dengan gadis itu selalu.

Ingatan aku hilang serta-merta bila mengenangkan kegembiraan di masa lampau. Kini, aku kembali di meja makan kafe dengan rokok masih di tangan. Aku terus memadamkan bara api rokok dengan menekannya ke dalam bekas abu yang tersedia di atas meja dan langsung meninggalkan puntungnya di dalam bekas itu. Sesi sarapan aku telah selesai. Aku menghabiskan baki kopi o yang ada di dalam gelas dan ingin kembali ke pejabat.

Ketika bangun, aku melepaskan keluhan yang dalam kerana mengingatkan kenangan di kafe bersama Maya. Saat aku setuju untuk menjadi tutor kepada gadis tersebut itulah bermulanya episod-episod kejatuhan aku.

1 ulasan: