Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 11

Gaya Maya tak ubah seperti seorang ratu fesyen. Rambutnya yang lurus panjang bersinar, menggambarkan masa dan belanja yang banyak telah dilaburkan untuk ke salun rambut. Baju-T dan seluar jeans ketat berjenama. Kasut tumit tinggi yang biasanya hanya dapat aku lihat di majalah-majalah fesyen wanita lengkap dengan aksesori beg tangan kulit besar bernilai ratusan ringgit, jam tangan mahal di tangan kiri, seurat rantai emas halus di tangan kanan dan subang bulat bersaiz besar tergantung di kedua telinga gadis itu. Mekap yang diconteng di wajahnya juga bukan sekadar mekap biasa seperti yang aku lihat di kalangan pelajar-pelajar perempuan di fakulti. Aku yakin jenama produk mekapnya juga dari jenis yang mahal.

Sedangkan gaya aku pula sangat jauh berbeza. Rambut yang panjang tak terurus kerana tidak sempat ke kedai gunting menjadi hiasan kepala. Aku mengenakan baju-T hitam bertulis, ‘I don’t care!’ di dada bersama jeans lusuh Levi’s 501 berwarna biru yang telah dua tahun aku pakai. Seluar mahal ini hanya dapat aku beli setelah lima bulan menyimpan duit elaun. Di kaki pula, aku menyarung sepasang kasut Converse Chuck Taylor edisi terhad diperbuat dari kulit. Kasut ini pun dapat aku beli selepas mengikat perut menyimpan beberapa lama. Itulah sahaja kasut yang aku miliki dan aku tidak berniat untuk mendapatkan kasut lain buat masa ini. Hiasan tangan aku pula hanyalah seutas jam jenama Casio G-Shock yang dihadiahkan oleh ibu bersempena dengan keputusan SPM cemerlang yang aku perolehi dua tahun sebelum itu.

Kami berjalan bersama beriringan ibarat dua watak utama dalam kisah dongeng Beauty and the Beast melalui deretan kedai-kedai di kompleks Sunway Pyramid. Aku hanya mengikut ke mana saja langkah Maya.

Kompleks membeli-belah yang baru dibuka ketika itu sangat moden dan unik rekaannya di pandangan mata orang kampung seperti aku. Ia menggunakan konsep Mesir kuno sebagai asas hiasannya. Di bahagian tengah kompleks dibina lapangan luncur ais untuk orang ramai. Semuanya begitu baru buat aku.

Setelah dua tahun aku berada di lembah Klang, itulah kali pertama aku menjejakkan kaki di kompleks tersebut. Aku tidak pernah mempunyai keinginan yang berkobar-kobar untuk ke sana atau ke mari. Pilihan aku untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran telah mengorbankan peluang aku untuk bersosial dan meneroka tempat-tempat terkenal sekitar ibukota. Begitulah teori yang disebut oleh Hukum Kos Lepas atau Law of Opportunity Cost dalam Ilmu Ekonomi.

Lagipun, bersosial dan penerokaan ke tempat-tempat menarik sekitar ibukota berupaya menghabiskan belanja yang besar. Aku tidak dibekalkan dengan bekalan wang yang banyak setiap bulan. Oleh itu, pilihan yang aku buat untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran adalah satu pilihan yang tepat ketika itu.

Aku mengikut Maya masuk ke sebuah restoran makanan segera berkonsepkan makanan Jepun, Sushi King. Kalian pasti sudah boleh menjangka yang ia juga adalah pengalaman pertama aku menjejakkan kaki ke restoran seumpama itu.

Sebagai pengunjung kali pertama, aku terus membuat penilaian terhadap rekaan restoran tersebut. Pada pandangan aku, susunatur restoran itu aku kira sangat unik. Di tengah-tengah restoran dibentuk satu pulau, di mana di dalamnya ditempatkan dua atau tiga orang pekerja pada satu-satu masa. Pekerja-pekerja itu hanya menumpukan perhatian kepada kerja menyediakan sushi-sushi yang diletakkan di dalam pinggan-pinggan kecil. Pinggan-pinggan itu kemudiannya diletakkan di atas conveyor belt yang sentiasa bergerak mengelilingi pulau tersebut.

Di sekeliling pulau itulah ditempatkan meja-meja bagi kegunaan pelanggan restoran menjamu selera. Oleh itu, pelanggan-pelanggan boleh duduk memesan makanan yang disediakan secara ala-carte atau cukup dengan hanya mengambil sushi-sushi yang telah tersedia di atas conveyor belt yang bergerak.

Kedatangan kami disambut dengan teguran selamat datang yang diucap dalam Bahasa Jepun oleh kakitangan restoran.

‘Kreatif,’ kata hati aku.

Kami duduk di sebuah meja di tengah-tengah restoran. Seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan. Risalah menu diletakkan di depan kami berdua.

Order up!” Maya memberikan arahan.

Tak tau nak order apa,” jawab aku sambil tersengih.

U first time datang Sushi King ke?”

Guilty as charged!” jawab aku sambil mengangkat kedua belah tangan seperti gaya seorang yang bersalah sedang menyerah diri kepada pegawai polis. “Bukan setakat Sushi King, apa brand sushi pun aku tak pernah try.”

Kat kampung kami, makanan yang ada sikit-sikit macam style sushi ni cuma ulat kumbang tanduk mentah, cicah dengan santan. Rasa juicy dia best. Kalau masa kunyah, ulat tu gerak-gerak dalam mulut lagi rasa best. Kau pun patut try rasa.” Aku cuba menyembunyikan rasa rendah diri dengan menghidangkan jenaka makanan orang asli kepada gadis itu.

Maya ketawa kecil sambil menutup mulutnya menahan geli hati. Kemudian dia berkata, “Maybe I will.”

*****

Gadis itu kemudiannya menerangkan tentang makanan-makanan yang tertera dalam menu. Dia juga turut memberikan cadangan berdasarkan pengalamannya yang selalu ke restoran seperti itu. Selepas mendengar cadangannya, aku pun memesan makanan yang aku kira sesuai dengan selera aku.

Kami makan sambil berbual. Kalau sebelum ini, masa-masa yang kami lalui bersama ketika sesi tutor-tutee begitu formal. Perbualan-perbualan kami lebih menjurus kepada perkara-perkara akademik. Jarang ada masa untuk melencong berbual tentang perkara lain kerana sebaik sahaja aku habis mengajarnya, aku terus bergegas untuk ke kelas atau terus meminta diri untuk belajar. Inilah kali pertama kami bersama dalam keadaan santai. Kami mula berbual-bual sambil cuba mengenal diri masing-masing.

Tak sangka U boleh nyanyi,” komen Maya tentang sesi karaoke kami sebentar tadi.

“Heh, Mana ada! Kau salah dengar kot,” aku cuba merendah diri.

Pastu U hafal banyak lirik lagu-lagu up-to-date. I pun tak hafal banyak macam U.”

“Aku satu bilik dengan Kasim. Kau kenal Kasim, kan? Budak Penang hitam manis yang selalu duduk sebelah Rizal dalam kelas tu…” aku memulakan penerangan sambil menunggu respon dari gadis itu.

Namun, selepas beberapa ketika dia kelihatan masih belum dapat mengecam siapa yang aku cuba maksudkan, maka aku pun meneruskan penerangan, “Tak kisah la kalau kau tak kenal Kasim. Dia tu suka pasang radio kuat-kuat dalam bilik. Tu yang buat aku biasa dengar lagu-lagu latest. Bila dah dengar banyak-banyak kali dapat la ingat lirik dia.”

“Boleh ingat just like that? I kalau nak ingat lirik lagu, mula-mula kena cari lirik dulu. Tak pun salin lirik tu dulu kalau cari-cari tak jumpa. Pastu baca ulang-ulang. Baru boleh hafal. Kadang-kadang baca ulang-ulang seratus kali pun tak ingat-ingat. U boleh terus ingat macam tu je. Kuatnya ingatan U.”

“Tak ada lah. Aku tak pandai mana pun. Sapa-sapa pun boleh ingat kalau dengar betul-betul.” Aku tetap merendahkan diri. Pesanan ayah kepada aku terngiang, “Tetaplah engkau rendahkan diri seolah-olah engkaulah manusia paling hina. Walaupun orang sekeliling memuji setinggi langit.”

U ada hobi tak?” Maya tiba-tiba mengubah topik.

“Macam kumpul setem tu ke?” aku menduga sambil memandang Maya. Gadis itu sekadar mengangkat kedua bahunya sebagai mengiyakan tekaan aku. Melihatkan bahasa tubuhnya itu aku menyambung, “Aku suka baca buku. Tengok movie pun aku suka jugak.”

“Buku apa?”

“Macam-macam jenis buku. Mostly novel la. Grisham, Patterson, Puzo, Koontz, King.”

“Apa tu?”

“Nama-nama writer yang aku minat. John Grisham, James Patterson, Mario Puzo, Dean Koontz, Stephen King.”

“Ooo… I suka baca fashion and entertainment magazine,” gadis itu memberitahu perihal dirinya pula. Kemudian dia meneruskan pertanyaan “U suka tengok movie apa?”

“Apa-apa pun boleh. Tapi drama la yang paling aku suka,” aku menerangkan.

Example?” gadis itu berhenti mengunyah dan mula memberikan perhatian dengan penuh minat.

“Contohnya, The Godfather tahun 1972. Raging Bull tahun 1980. Stand by Me tahun 1986. Forrest Gump tahun 1993. Banyak lagi la title-title best. Tapi yang paling best so far, To Kill a Mockingbird tahun 1962. Walaupun filem tu takleh la nak tanding buku dia yang Harper Lee tulis, tapi filem tu tetap paling best dalam list aku.”

Aku memetik dialog dalam filem tersebut, “Shoot all the bluejays you want, if you can hit ‘em, but remember it’s a sin to kill a mockingbird.”

Supaya perbualan menjadi interaktif, aku bertanya kepadanya, “Kau dah tengok filem ni?”

Maya menggeleng. Dari riak wajahnya, aku meneka yang gadis itu langsung tidak tahu apa yang aku perkatakan.

“Kau takde hobi ke?” soal aku mengalihkan perhatian.

Gadis itu mengambil masa untuk menjawab. Seolah-olah dia masih belum menemui jawapan ketika dia berkata, “I suka… shopping.”

Since when shopping is qualified to be considered as hobby?” aku memprotes untuk mengusiknya.

Ala... kira okey la tu. I bukannya budak pandai macam U, sampaikan hobi pun nak kena ada intellectual sense jugak,” Maya membela dirinya.

“Hobi kan benda subjektif. Bukan kira pandai atau tak. Dah memang minat aku macam tu nak buat macamana.

“Haa… Sama la dengan I. Dah memang I minat shopping, nak buat macamana.”

“Okey, okey tuan puteri. Shopping pun shopping la,” aku mengalah. Maya menjelirkan lidahnya tanda mengejek lalu ketawa kecil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan