Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 18

Pernahkah kalian pergi ke kelab-kelab hiburan? Bagi aku, ini adalah pengalaman pertama. Apa pendapat pertama aku? Sesak dan panas.

Sungguh ramai pengunjung yang datang ke kelab ini. Ruangnya besar. Silingnya tinggi. Lampu-lampu sorot yang terpasang dan terpadam mengikut rentak lagu terpasang di siling. Keadaan cahaya samar-samar. Di bahagian tengah adalah lantai tarian utama.

Di sebelah kiri dan kanan, terdapat petak-petak yang tersorok lengkap dengan sofa yang ditempah khas dibina mengelilinginya. Andaian aku, orang-orang yang boleh duduk di sofa-sofa itu ialah pengunjung yang awal atau yang telah membuat tempahan atau mungkin orang-orang yang dikategorikan sebagai orang penting. Manalah aku tahu…

Di bahagian depan, ada lantai yang ditinggikan membentuk sebuah pentas. Di atasnya, sebuah meja tersedia. Di sini seorang DJ yang bertanggungjawab menghidangkan sajian lagu-lagu party mix malam itu sedang bersemayam menjalankan tugas.

Di sana-sini, meja-meja bulat kecil dan tinggi dipaku atas lantai. Meja-meja itu guna bagi meletakkan minuman dan ashtray. Semua orang berdiri dan bebas untuk bergoyang di mana sahaja mengikut rentak irama yang dipasang.

Di satu sudut merentasi lantai tari utama, bertentangan dengan pentas sebuah bar tersedia untuk membekalkan minuman-minuman bagi membasahkan tekak para pengunjung selepas penat menari. Minuman-minuman yang dijual adalah minum ringan berkarbonat dan minuman keras sahaja. Jangan harap kalian boleh order teh tarik kurang manis di sini.

Clubbing adalah istilah yang digunakan untuk aktiviti menari di kelab hiburan seperti ini. Pengunjung yang datang ke sini, rata-ratanya adalah muda-mudi berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun. Tempat ini hanya sah bagi pengunjung berumur 18 tahun ke atas. Maka pemeriksaan kad pengenalan akan dibuat di pintu masuk terhadap pengunjung-pengunjung yang kelihatan terlalu muda.

Lelaki dan perempuan bersesak-sesak untuk berhibur di dalamnya. Lelaki berpakaian cantik dan wanita berpakaian seksi. Itu adalah kod berpakaian yang difahami oleh semua yang biasa datang ke tempat-tempat seperti ini. Men dress to impress, ladies dress to undress.

Selain tempat untuk menari, tempat ini juga adalah tempat untuk mabuk-mabuk. Arak menjadi halal di sini tak kira kepada orang Islam atau yang bukan Islam. Perlakuan melagakan gelas adalah perlakuan yang diterima di sini. Sesiapa sahaja boleh melagakan gelas dengan sesiapa sahaja sebagai tanda persahabatan terjalin. A world without strangers, adalah tagline yang dibanggakan oleh warga kelab sebegini.

Di sini juga adalah tempat untuk mencuba nasib mendapatkan pasangan, sama ada untuk hubungan serius atau sekadar suka-suka, one night stand. Sesiapa boleh menyapa sesiapa sahaja. Tetapi bagi si jejaka yang cuba untuk memikat, haruslah mempunyai kualiti yang tersendiri atau pun ayat memikat yang dikenal sebagai pickup lines yang bagus. Sekiranya pickup lines kurang menarik, si gadis akan segera meninggalkan si jejaka dengan ego yang tercalar.

Apabila aku masuk mengikuti Maya ke dalam kelab, kami terus ke satu sudut yang bersofa. Waktu ketika itu ialah 11.45 malam. Rupa-rupanya, beberapa orang rakan kepada gadis cantik itu telah pun menunggu. Mereka seramai lima orang semuanya. Dua orang lelaki dan tiga orang perempuan. Don, Jack, Linda, Ayu dan Kathy adalah nama-nama yang mereka gunakan. Semuanya adalah pemuda dan pemudi berbangsa Melayu. Maya berpelukan dengan mereka dan memperkenalkan aku kepada mereka. Aku senyum dan hanya bersalaman.

Kami bertujuh duduk mengelilingi sebuah meja kopi yang ada di tengah petak itu. Mereka semua adalah anak-anak muda dari keluarga kaya yang sedang belajar di kolej-kolej sekitar ibukota. Mereka kelihatan seronok, bergelak ketawa. Muzik yang terlalu kuat membuatkan semua orang harus menjerit untuk bercakap. Sekiranya perkara yang akan disampaikan itu penting, terpaksalah ia disampaikan terus ke cuping telinga.

“Maya, kitorang semua dah order air. Korang berdua nak minum apa?” kata pemuda yang menggelarkan dirinya Jack. Dia terus memanggil seorang pelayan lelaki.

Maya berkata kepada pelayan itu, “Coke!”

Apabila pelayan itu memandang ke arah aku, aku pun meniru Maya, “Coke!” Pelayan itu pun beredar.

Beberapa ketika kemudian, pelayan itu datang kembali membawakan minuman setiap orang. Hanya aku dan Maya sahaja yang memesan minuman ringan. Kelima-lima mereka pula memesan minuman keras. Whiskey on the rock, vodka, Screwdriver dan beer adalah nama-nama minuman yang mereka minum. Kami semua meneguk minuman masing-masing dan mula berbual sambil menikmati irama lagu yang dihidangkan. Kelima-lima mereka merokok.

“Jack, mintak rokok sebatang,” kata Maya kepada Jack.

Jack menghulurkan sekotak Dunhill beserta pemetik api kepada Maya. Gadis itu mengambil sebatang rokok dari dalam kotak tersebut dan menyalakannya. Sambil menghembuskan asap ke udara, Maya memandang aku dan mengenyitkan mata. Sekarang, barulah terbukti benar khabar angin tentang Maya seorang perokok. Namun, aku menyembunyikan perasaan terkejut dan kurang senang malah berlagak seolah-olah tidak kisah dengan perlakuan gadis itu.

Aku masih merasa janggal dengan kenalan-kenalan baru aku itu. Suasana kelab tersebut juga sangat asing bagi aku. Aku hanya mendiamkan diri sahaja melihatkan mereka bergelak ketawa dalam perbualan yang langsung tidak dapat aku tangkap biji butirnya. Tidak lama selepas itu, kelima-lima mereka pun bangun dan beredar meninggalkan kami. Sepeninggalan mereka, Maya merapati aku. Aku gementar lagi.

Aku merapatkan mulut hampir ke telinga gadis itu, lalu bertanya, “Diorang nak pegi mana tu?”

Maya mengambil giliran mendekatkan mulutnya ke telinga aku, lalu menjawab, “Dancing.”

Kami terus-menerus berbual dengan cara begitu. Sehinggakan tangan kami kerap tersentuh tubuh masing-masing tanpa disengajakan.

“Kau tak pegi dancing?”

“Habis tu takkan nak tinggalkan U sorang-sorang kat sini? I dah bagitau diorang, U boyfriend I.”

Bengong kau ni.”

Gadis cantik tinggi lampai itu ketawa melihat aku menarik muka masam. Kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak lagu. Dia mengambil sebatang lagi rokok Jack yang ditinggalkan di atas meja lalu menyalakannya lagi. Aku memerhatikan sahaja tingkah lakunya itu.

Dah lama I tak merokok tau. Since I stop keluar malam, last semester.”

Dia mendekatkan buntut rokok itu ke bibir aku. Gincu merahnya sedikit terpalit di situ. Aku menggelengkan kepala. Maya tersenyum lalu menghisap rokok itu dan menghembuskan asapnya ke udara.

Seketika kemudian, lagu tamat. DJ membuat pengumuman yang lagu selepas itu ditujukan kepada semua gadis-gadis di dalam kelab tersebut. Semua pengunjung menjerit kegembiraan sebaik sahaja lagu tersebut bermula. Serentak dengan itu, gadis-gadis dari segenap penjuru kelihatan bergerak ke tengah untuk menari. Nampaknya muslihat DJ tersebut untuk menarik perhatian gadis-gadis telah berhasil. Dengan penglibatan para gadis barulah suasana di dalam kelab itu dikatakan hidup.

Jom menari!”

“Tak mau la. Aku tak pandai.”

I ajar U la.”

No, thanks.”

I gi menari ya. U jaga barang-barang kat sini, boleh?”

“Okey.”

Maya menekan hujung  rokok yang berbara ke dalam bekas abu. Gadis itu berdiri sambil mengusap wajah aku dan ketawa kecil. Kemudian, dia melangkah menuju ke lantai tarian dengan lenggang-lenggok yang berupaya mencairkan iman kaum lelaki. Aku melihat dari jauh tubuhnya yang bergerak-gerak mengikut rentak lagu. Gadis itu sememangnya pandai menari.

Kini, aku duduk bersendirian. Keempat-empat gadis itu meninggalkan beg-beg tangan mereka di satu penjuru sofa. Jarak beg-beg itu tidak jauh dari aku. Bagus juga. Mudahlah untuk aku memerhatikannya dari diambil orang. Di atas meja itu pula, selain dari gelas-gelas minuman kami, tiga kotak rokok dan tiga pemetik api turut terdampar. Aku membasahkan tekak dengan seteguk Coke lalu mencapai pemetik api Zippo milik Jack dan bermain-main dengannya.

“Hai!” Tiba-tiba suara seorang gadis menyapa dalam kebingitan bunyi bising lagu.

Aku mendongak. Ayu, salah seorang gadis teman-teman Maya itu sedang masuk ke dalam petak sofa kami. Gadis kecil molek itu memakai kemeja T dipadankan dengan skirt pendek ketat. Dari kesamaran cahaya, dapat aku lihat wajahnya yang bujur sirih. Rambutnya beralun, hitam tidak diwarnakan, sederhana panjang dan dilepaskan separas bahu. Dia duduk rapat di sebelah aku.

Sepertimana tadi aku terpaksa mendekatkan mulut ke telinga Maya untuk bercakap, begitu juga halnya dengan aku dan Ayu.

“Boleh tolong ambikkan beg I? Tu yang warna grey.”

Aku mengangguk dan terus berbuat seperti diminta. Gadis itu membuka begnya dan mengambil tisu. Dia mengelap wajah dan lehernya yang basah dengan peluh. Kemudian, dicapainya gelas berisi jus oren bercampur sedikit minuman keras yang dipanggil screwdriver itu dan terus meminumnya.

“So, dah lama ke U dengan Maya?”

1 ulasan: