Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 27

Ayu menurut perintah aku lalu pergi. Aku masuk ke bilik Maya dan merebahkan badan di atas katil. Katil yang telah banyak kali menjadi saksi terhadap perlakuan sumbang antara aku dan gadis itu. Semuanya masih terlalu berat untuk aku terima. Aku merenung siling bilik itu dengan pandangan kosong.

Kalaulah memang benar apa yang dikatakan oleh Ayu tadi, maka pertemuan kami di taman hampir setahun yang lalu itu bukanlah suatu kebetulan. Ia sememangnya telah dirancang dengan teliti. Gadis itu telah membuat homeworknya dengan baik. Dia tahu laluan perjalanan aku dan bilakah waktu sesuai untuk menemui aku. Kesungguhannya belajar juga suatu lakonan yang mengesankan. Bersungguh-sungguh dia belajar sehingga pretasinya meningkat. Aku langsung tidak mengesyaki apa-apa. Bahkan aku benar-benar yakin bahawa gadis itu sangat-sangat memerlukan bantuan. Aku mengakui kehebatan lakonan gadis itu. Sungguh meyakinkan.

Dalam kecelaruan fikiran itu, aku terlelap. Aku tersedar apabila berasa sesuatu yang berat dan hangat menindih tubuh. Mata yang masih mengantuk aku buka. Wajah Maya rapat dengan wajah aku. Mata kami bertentangan. Aku cuba membuka mulut untuk berkata-kata. Jari telunjuk gadis itu segera menyentuh bibir aku, mengisyaratkan aku supaya jangan berbicara. Aku menurut.

Let’s make love,” katanya pendek meminta.

Seluruh susunan perkataan-perkataan yang telah aku sediakan di fikiran untuk dibentangkan kepada gadis itu sejak tadi, terus hilang sama sekali. Wajahnya yang mempesonakan benar-benar telah menguasai aku. Permintaannya aku penuhkan.

Hubungan kami pada malam itu sungguh berlainan berbanding sebelumnya. Penuh dengan emosi. Dalam kehangatan asmara terlarang itu, aku terasa sesuatu yang basah dan hangat di pipi gadis itu. Dia menangis. Apabila segalanya berakhir, kami terus tertidur dalam keadaan berpelukan. Tiada sebarang perkataan yang terkeluar dari mulut masing-masing.

*****

Keesokan pagi, aku tersedar. Maya masih berada dalam rangkulan aku dengan tubuhnya membelakangi aku. Walaupun aku tidak melihat wajahnya, namun aku tahu, gadis itu juga telah terjaga dari tidurnya.

Tiba-tiba Maya bersuara masih membelakangkan aku, “I tau, Ayu dah cerita kat U perkara sebenar malam tadi.”

Aku tidak menyangka gadis itu akan menyentuh terus topik utama tanpa sebarang mukaddimah. Aku diam beberapa ketika kemudian memberikan respon, “Betul ke apa yang Ayu cakap tu?”

Tanpa teragak-agak, gadis itu menjawab, “Apa yang Ayu cakap tu semua betul.”

Darah aku tersirap mendengar pengakuannya.

“Kenapa kau buat aku macam ni? Kau tau tak aku dah korbankan cita-cita aku semata-mata untuk puaskan hati kau. Semua permintaan kau aku ikut.” Tiada lagi gantinama I atau you dalam percakapan aku.

Dah la, Alip. It’s just a game. U pun seronok ikut I buat semua ni. So, janganla nak salahkan I sangat.”

Aku segera menarik tubuh gadis itu supaya wajahnya mengadap wajah aku. Dia menurut tanpa melawan. Perlahan-lahan aku mencapai tangannya dan meletakkan telapak tangan itu ke atas dada kiri aku.

Sambil merenung ke dalam mata Maya, aku menyusun kata-kata, “Kau dapat rasa tak apa ni?” Dia membalas renungan. “This is my heart…” aku terus merenung ke dalam matanya yang aku lihat mula merah berkaca lalu meneruskan kata-kata, “…and it is now broken.”

Maya lantas memalingkan wajahnya ke sisi, melepaskan rangkulan aku dan bingkas bangun. Tanpa memandang aku dia berkata sambil berjalan masuk ke bilik air, “I nak mandi. Lepas mandi I nak pegi rumah my dad kat Damansara for few days. U boleh terus duduk sini berapa lama U suka.”

Aku melihat tubuh Maya hilang dari pandangan apabila gadis itu masuk ke bilik air. Itulah kali terakhir aku melihatnya.

*****

Aku bangun berjalan masuk ke bilik. Selepas mengunci pintu, aku merebahkan diri di atas katil bujang dalam bilik itu. Aku terasa ngilu di dada. Serentak dengan rasa ngilu itu mata aku berair. Beginikah keadaannya apabila patah hati?

Aku terus berada di dalam bilik. Beberapa ketika kemudian, aku terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan lalu dipandu pergi.

Apabila telah pasti yang Maya telah tiada, aku terus mengemaskan semua barang-barang. Pakaian aku tidaklah begitu banyak. Yang banyak hanyalah buku-buku dan peralatan belajar. Aku mengeluarkan kotak-kotak yang aku guna untuk memuatkan barang-barang aku ketika datang ke sini beberapa bulan yang lalu. Kotak-kotak itu aku gunakan untuk memuatkan semua barang-barang aku semula. Aku harus keluar dari rumah tersebut hari itu juga.

Pakaian-pakaian yang dibeli oleh Maya untuk aku semuanya aku tinggalkan. Aku tidak mahu lagi menyarung pakaian yang membuatkan aku lupa siapa diri aku sebenarnya.

Setelah selesai mengemaskan barang-barang, aku pun keluar dari bilik dan segera meninggalkan rumah untuk mendapatkan sebuah teksi di tepi jalan utama tidak jauh dari rumah itu. Selepas beberapa kali menahan, sebuah teksi berhenti. Aku memberitahu destinasi. Pemandu teksi diam seketika mendengar nama tempat yang aku sebutkan. Kemudian dia menyebut sebuah harga bagi perjalanan ke situ.

Kemudian, tawar-menawar pun berlaku antara aku dan pemandu teksi tersebut. Beberapa ketika kemudian, masing-masing bersetuju dengan satu harga. Aku pun menaiki teksi tersebut dan menunjukkan jalan ke rumah Maya bagi mengambil barang-barang aku yang masih ada di rumah teres dua tingkat itu.

Selepas mengunci rumah, aku memasukkan set kunci pendua yang diberikan kepada aku ke dalam peti surat. ‘Bye, Maya. Semoga kau happy,’ bisik hati aku.

*****

Pemandu teksi berbangsa Cina itu memandu dengan laju. Aku yang duduk di tempat duduk belakang sekali-sekala memandang ke arah speedometer di papan pemuka kereta itu. 120 kilometer sejam. Tetapi hati aku tidak mempedulikan sangat tentang kelajuan tersebut.

Setiap saat yang berlalu itu memainkan semula imbasan kenangan sepanjang hampir setahun bersama dengan Maya. Semuanya jelas di mata aku. Aku cuba menepis ingatan itu supaya hilang tetapi ia tetap muncul. Perjalanan sejauh lebih kurang 200 kilometer balik ke kampung itu tidak langsung aku rasakan.

Empat jam kemudian, aku pun tiba di kampung. Aku mengosongkan dompet untuk membayar tambang yang dipersetujui. Kemudian, aku mengangkat barang-barang masuk ke dalam rumah. Ibu dan ayah menyambut kepulangan aku dengan wajah gembira.

“Kenapa lewat balik cuti kali ni?” Ayah bertanya.

“Ada aktiviti persatuan, ayah.” Aku berbohong.

Aku tidak banyak bercakap sepanjang cuti. Tidak melakukan apa-apa pun. Aku telah hilang semangat untuk melakukan apa-apa.

Setiap hari aku duduk di muka pintu memandang ke arah jalan masuk ke rumah kami. Pada suatu hari, lebih kurang seminggu sebelum pembukaan semester, motosikal posmen membelok masuk ke rumah kami. Ibu dan ayah tiada di rumah ketika itu.

Posmen tua yang telah lama berkhidmat di kampung kami itu aku tegur dengan sopan. Dia menghulurkan tiga pucuk surat. Surat yang aku tunggu-tunggu. Sampul surat pertama dan kedua berlogokan universiti. Sampul kedua berlogokan badan yang menjadi penaja biasiswa aku.

Aku membuka surat-surat itu satu persatu. Sampul berlogokan universiti yang pertama mengandungi keputusan peperiksaan akhir semester kelima yang lalu. Mata aku mula-mula meneliti jumlah purata nilai gred terkumpul untuk keseluruhan pengajian. Nilai gred yang tertera di dalamnya adalah seperti yang aku jangkakan. Ia telah menurun melepasi gred B. Ini menunjukkan gred semester kelima aku adalah sangat teruk. Jantung aku hampir berhenti apabila mata aku memandang kepada purata nilai gred untuk semester itu.

‘Jangan-jangan…’ hati aku mula meneka-neka.

Untuk membuktikan tekaan itu, tangan aku segera membuka sampul surat berlogokan universiti yang kedua. Apa yang aku takutkan ternyata benar. Ia mengandungi surat dari pejabat akademik yang menyatakan bahawa aku telah diberhentikan kerana purata nilai gred bagi semester kelima aku yang terlalu rendah.

Kaki aku menjadi lembik. Aku terduduk. Tidak perlu lagi aku membuka surat ketiga kerana aku boleh menjangka apakah isi kandungannya. Surat itu datangnya dari penaja biasiswa aku. Mereka pasti telah menarik kembali tajaan mereka ke atas aku. Bahkan, segala perbelanjaan yang telah mereka keluarkan pasti telah bertukar menjadi pinjaman yang perlu aku jelaskan mengikut syarat-syarat dan terma-terma seperti yang aku setujui dulu.

Penerimaan surat-surat itu membuatkan aku menjadi lebih murung. Aku banyak berkurung dan mendiamkan diri. Walau bagaimanapun, berita itu tidak aku sampaikan kepada kedua ayah dan ibu. Mereka tidak perlu tahu tentang perkara itu. Sekiranya mereka tahu pasti mereka akan kecewa. Jika mereka dapat tahu yang punca segala musibah ini ialah seorang perempuan, pasti mereka akan menjadi lebih kecewa.

Dalam keadaan kusut dan sedih itu, fikiran aku tetap juga ligat memikirkan jalan keluar. Akhirnya sebuah idea muncul di fikiran. Aku harus ke universiti pada hari pendaftaran itu nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan