Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 2

Jam penggera berbunyi nyaring mengganggu tidur. 5.30 pagi.

‘Alahai, awalnya,’ keluh hati aku. Kalau dapat, aku mahu terus berlingkar di atas tilam dan bermimpi. Masa yang berjalan terasa begitu cepat. Belum pun puas tidur tahu-tahu pagi telah pun menjelma. Aku harus segera bangun untuk mengelak dari terperangkap dalam kesesakan trafik yang akhirnya menjadi sebab lewat ke pejabat.

Lewat. Satu perkataan yang menggerunkan buat pekerja kelas bawahan seperti aku. Hanya dengan memikirkannya pun sudah cukup membuat tubuh badan aku terus bergerak secara otomatik. Tisu-tisu dan otot-otot bekerjasama menolak bangun tubuh yang longlai dan menegakkan tulang belakang aku. Untuk seketika, aku duduk di atas katil, masih dalam keadaan mamai, di dalam bilik tidur, di sebuah flat seluas 600 kaki persegi, yang aku sewa di kotaraya Kuala Lumpur.

Aku bergerak turun dari katil dan terus masuk ke bilik air untuk mandi. Untuk seketika aku berdiri diam di bawah pancuran air tanpa berbuat apa-apa. Pertemuan dengan Maya semalam telah mengusik ingatan yang selama belasan tahun ini telah terpendam tidur dalam ingatan aku. Kini, ingatan itu telah terjaga. Segalanya menjadi segar kembali ibarat baru semalam berlaku.

*****

Ingatan mengimbas saat aku menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Institusi Pengajian Tinggi atau lebih kerap dirujuk orang hanya dengan sebutan IPT. Aku ditawarkan menyambung pelajaran di sebuah universiti terkemuka tanahair. Bersama-sama dengan tawaran itu, aku juga ditawarkan biasiswa untuk sebuah program yang memberikan pembiayaan kepada pelajar-pelajar terpilih yang cemerlang.

Kedua orang tua aku sangat gembira dengan berita tersebut. Pada surat tawaran yang sampai ke rumah kami, kursus itu tertulis, ‘Sarjana Muda Perakaunan’. Mereka langsung tidak mempunyai gambaran apa itu perakaunan pun sebenarnya. Namun kedua mereka bersungguh-sungguh menggesa aku supaya menerima tawaran tersebut.

Sejujurnya, aku sendiri tidak begitu berminat dalam bidang perakaunan khasnya mahupun kewangan secara amnya. Dalam diam aku berangan-angan untuk menjadi seorang penulis. Walaupun begitu, sebagai anak yang taat, aku tetap berangkat ke Kuala Lumpur dan mendaftar.

Bukan maksud aku untuk membesarkan diri dan berbangga, tetapi sekadar memberikan penjelasan kepada kalian. Ketika di universiti, aku merupakan seorang pelajar yang terang hati. Tanpa perlu memberi perhatian yang serius di kelas, aku masih boleh memahami konsep yang diterangkan oleh pensyarah-pensyarah atau tutor-tutor yang mengajar.

Gred pelajaran sangat penting bagi aku. Untuk maksud itu, aku tidak menghabiskan masa di luar dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Rakan-rakan pelajar lelaki yang lain kebanyakannya sibuk ponteng kelas, menghisap ganja dan mabuk-mabuk, berparty hampir setiap malam, meniru dalam peperiksaan dan melakukan hubungan seks dengan apa sahaja yang memakai skirt.

Rakan-rakan lelaki sekelas mencemburui aku kerana pencapaian akademik yang aku perolehi. Sedangkan mereka tidak mengetahui yang aku mencemburui mereka lebih lagi kerana aktiviti-aktiviti kurikulum lebih masa yang mereka lakukan. Mereka dapat berhibur sepanjang masa tanpa perlu risau tentang apa-apa pun. Aku tidak mampu berbuat sepertimana mereka. Sekiranya purata gred yang aku perolehi kurang dari gred B+ sekalipun, maka biasiswa aku akan ditarik-balik dan ditukar menjadi pinjaman yang akan membebankan aku di kemudian hari kelak.

Aku hanyalah seorang anak kampung biasa. Sekiranya keadaan itu terjadi, ia pasti menyusahkan aku dan orang tua aku nanti. Lebih-lebih lagi, aku amat-amat tidak mahu mengecewakan mereka. Justeru, aku pendamkan sahaja niat aku ingin berseronok di usia muda seperti pemuda-pemuda lain dan terus menumpukan perhatian hanya dalam pelajaran.

Aku belajar lebih masa. Tidak cukup dengan itu, aku mengambil jam kredit melebihi pelajar lain. Matlamat aku bukan sahaja untuk tamat dengan cemerlang bahkan tamat lebih awal dari tempoh 5 tahun yang ditawarkan. Pada semester pertama aku ditempatkan bersama satu kumpulan pelajar dalam kelas yang sama. Apabila aku memasuki semester ketiga aku mula meninggalkan mereka lantaran subjek-subjek advance yang aku ambil.

Gred yang aku perolehi pada setiap semester tidak pernah mencecah A-. Ini adalah gred cemerlang bukan sahaja mengikut piawaian universiti bahkan juga piawaian industri. Begitulah keadaan aku yang tak ubah seperti seorang yang tamak dan gelojoh dalam membuat persediaan menghadapi gelombang hidup.

Tetapi aku hanyalah seorang lelaki biasa yang juga mempunyai naluri, perasaan dan keinginan yang sama seperti anak muda sebaya yang lain. Aku turut memandang anak-anak gadis dengan pandangan minat. Minat dan keinginan yang hanya dapat aku pendam. Namun ia tidak dapat dipadam. Pada pandangan aku, semua gadis-gadis di sekeliling cantik-cantik dan seksi-seksi belaka. Ibarat kata Haji Bakhil dalam filem Nasib Labu Labi, “Kau semua cantik. Lembu diberi gaun, kau bilangkan cantik.”

Di antara ramai-ramai gadis itu, seorang yang sangat menarik perhatian aku melebihi yang lainnya. Ketika semester pertama, kami dalam kelas yang sama. Namanya Maya Azrina Binti Rosman Awal. Dia lebih biasa dikenal sebagai Maya. Gadis itu sangat cantik pada pandangan mata aku. Rambutnya, matanya, kulitnya, bibirnya, susuk tubuhnya, gayanya…semua sempurna. Dia dari keluarga kaya.

Aku langsung tidak tahu bagaimana keadaan hidup orang-orang kaya. Hasil daripada pemerhatian kasar, aku mendapati rata-rata mereka kurang mengambil berat dalam pelajaran. Bagi mereka belajar di IPT bukanlah satu masalah besar buat mereka. Hanya perlu bayar dan habiskan pengajian. Tidak kisahlah sama ada mereka cemerlang ataupun tidak kerana alam pekerjaan telah dijamin untuk mereka. Apa yang penting, mereka juga ke universiti seperti orang lain. Begitulah pandangan aku terhadap golongan kaya di IPT ketika itu.

Banyak khabar angin atau gosip yang aku dengar tentang Maya. Maklumlah, di kalangan lelaki-lelaki yang tidak dapat mendampinginya seperti aku, Maya merupakan satu ikon. Maka apa sahaja tentangnya sering menjadi bahan perbualan tanpa mengira kebenaran maklumat-maklumat tersebut. Dari apa yang aku dengar, aku gambarkan Maya sebagai seorang yang liar, perokok dan sering bertukar-tukar teman lelaki.

Aku pun tidak pasti sama ada pandangan dan gambaran yang aku buat itu betul atau pun tidak. Bahkan aku juga tidak pasti sama ada berpendapat sedemikian rupa kepada seseorang yang belum pernah aku sendiri berpeluang bergaul dengannya itu salah atau pun tidak.

Aku tidak tahu tentang gred yang diperolehinya. Tekaan aku, ia pastilah kurang memuaskan berdasarkan sikapnya terhadap pengajian sepanjang kami menghadiri kelas yang sama. Daripada apa yang aku lihat, Maya sering datang lambat ke kelas, duduk di tempat duduk paling belakang dan tidur. Kadang-kadang dia tidak hadir ke kelas langsung. Pensyarah-pensyarah kelihatan seperti membiarkan sahaja dia berbuat sesuka hati. Pada semester ketiga aku hanya dapat melihatnya dari jauh kerana kami tidak lagi menghadiri kelas yang sama.

2 ulasan: