Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 10

Aku mula berjalan meninggalkan bangunan fakulti untuk pulang ke asrama kerana ingin mandi, menukar pakaian dan makan. Selepas itu, seperti di semester-semester sebelum ini, aku akan kembali ke bangunan fakulti untuk meneruskan aktiviti pembelajaran. Sebaik memasuki kawasan taman, bagaikan déjà vu, aku terpandangkan gadis itu sedang duduk di bangku ketiga. Hari pertama pembukaan semester, waktu yang sama dan bangku yang sama.

Maya memandang aku dengan senyuman yang manis. Aku tidak mahu kalian mengatakan aku hanya perasan. Mungkin kalian akan berkata yang senyuman itu mungkin ditujukan kepada kawannya yang kebetulan berdiri di belakang aku. Kalian teruskanlah membuat andaian. Yang penting sekarang, dalam cerita ini, aku sangat yakin senyuman manis itu ditujukan kepada aku. Sebagai membuktikan keyakinan aku itu kepada kalian, gadis itu kemudiannya bangun dari bangku dan berlari ke arah aku dengan pantas.

Dia memakai baju-T dan jeans ketat mengikut bentuk tubuhnya yang tinggi lampai bersama dengan sepasang kasut bertumit setinggi tiga inci. Di tangannya seperti biasa, sebuah beg tangan tergantung sebagai pelengkap aksesori seorang perempuan. Walaupun memakai kasut bertumit tinggi dan sarat dengan aksesori, Maya masih mampu berlari mendekati aku. Bimbang juga aku melihatnya, takut-takut nanti dia jatuh.

Semakin dia menghampiri aku, kelihatan semakin melebar senyumannya. Apabila dia telah berhenti benar-benar di depanku, aku cuba memulakan bicara perbualan. Tetapi apa yang berlaku selepas itu membuatkan aku gugup tidak dapat lagi berkata-kata.

Gadis cantik itu memeluk aku dengan pelukan yang erat. Haruman tubuhnya dan kelembutan dadanya membuatkan aku terdiam kaku dalam kegugupan yang hebat hingga langsung tidak dapat berbuat apa-apa seperti sebatang tiang mati. Belum pernah aku memeluk mana-mana wanita selain ibu sebelum ini. Jauh sekali pula dipeluk oleh wanita cantik seperti itu.

Beberapa orang pelajar lelaki yang melalui laluan itu memandang kami dengan pandangan yang membuatkan aku menjadi lebih kaku. Mungkin mereka ingin menyampaikan kata-kata, ‘Brader, lu memang bertuah. Gua jealous dengan lu.’ Atau mungkin juga mereka berkata, ‘Brader, lu memang bodoh. Awek cun dah peluk lu, lu pulak diam macam tiang.’ Dalam keadaan gugup pun imaginasi aku masih sempat merepek.

Beberapa ketika kemudian, Maya melepaskan pelukannya. Aku merasakan segalanya berlaku dengan pantas. Apabila kegugupan aku telah reda, barulah aku sedar apa yang terjadi. Hati aku kesal kerana tidak membalas pelukannya.

I lulus semua paper,” kata Maya dengan nada gembira sebaik melepaskan pelukannya.

Dia langsung tidak berasa janggal dengan tindakannya memeluk seseorang yang berlainan jantina sebagai menunjukkan tanda terima kasih dan gembira di tempat umum. Berlainan dengan aku yang berasal dari kampung, semuanya terlalu asing dan baru buat aku.

“Err… Okey… Ye ke? Err… Bagus tu…” Jawab aku tergagap-gagap masih belum dapat menguasai diri.

U nak pegi mana sekarang?”

“Err… Aku nak balik hostel.”

“Apa plan U hari ni?” gadis itu terus menyoal.

Aku menarik nafas dalam sebelum menjawab. Aku mahu segera pulih dari kegugupan ini. Aku mula tenang walaupun jantung aku masih berdegup kencang. Segera aku menyusun perkataan-perkataan, “Aku nak balik mandi, nak tukar baju, nak makan. Lepas tu, nak pegi library. Aku nak buat nota sikit.”

Well, U cancel semua plan U tu. Hari ni I nak bawak U pegi lunch kat luar.”

“Eh, tak boleh la, Maya. Aku banyak kerja hari ni,” aku cuba menolak dengan baik.

Kalau diikutkan hati, memang aku ingin mengikuti gadis itu ke mana sahaja dia pergi. Namun, kebimbangan aku terhadap pelajaran aku melebihi segala keinginan naluri. Dorongan motivasi dan disiplin yang aku latih selama ini masih begitu kuat meninggalkan kesan.

I don’t take no for an answer. Ala... lagipun hari ni kan baru first day.”

First day ni memang aku dah busy. Tiap semester pun memang macam ni.”

Ala... hari ni je. Hari lain U cover la balik apa yang U miss hari ni.”

Tak boleh la, Maya. Lagipun kita nak pegi mana?”

Ala... boleh la, Alip. I nak belanja U makan je. It’s the least I can do to show you my appreciation. U dah tolong I banyak. U kena ikut I jugak, sekarang.” Gadis itu masih terus memujuk.

First day macam ni jadual aku padat la, Maya. Hari lain tak boleh ke?”

“Sepanjang cuti hari tu I plan nak bawak U keluar hari ni tau, Alip. Jom la…”

“Kita nak pegi mana?”

“Sunway Pyramid. Dekat je, kan?.”

“Lama ke?” hati aku mula mengendur kerana kasihan melihat Maya bersungguh-sungguh memujuk.

Kejap je. I promise,” ucapnya sambil terus menarik tangan aku supaya mengikutinya.

*****

Akhirnya Maya berjaya juga menculik aku dari kesibukan ritual pemujaan perpustakaan yang aku amalkan setiap semester itu. Aku masih lagi belum boleh percaya bagaimana aku boleh termakan pujukannya. Kereta miliknya yang kami naiki mulai bergerak meninggalkan kampus dan menuju ke Sunway Pyramid.

Perjalanan ke kompleks membeli-belah terkemuka di negara itu perlahan kerana keadaan trafik yang agak sesak. Jam digital di tangan mempamerkan angka dua belas. Cuaca di luar panas terik. Namun, penghawa dingin kereta berfungsi dengan baik sehingga aku hampir tidak sedarkan cuaca yang panas. Walaubagaimanapun, udara nyaman yang dihembus oleh penghawa dingin itu masih belum dapat menenangkan hati aku yang kuat berdebar.

Gadis itu memandu dengan tenang. Kereta yang dipandunya, sebuah Volkswagen Polo berwarna merah. Kereta itu kelihatan masih baru pada pandangan aku. Sekiranya kalian ada bersama aku, pasti kalian juga akan dapat mencium bau vinyl dan bau aksesori kulit yang masih pekat menguasai ruang.

Sedikit sebanyak aku dapat menganggarkan nilai semasa kereta tersebut. Sebagai seorang pelajar perakaunan, nilai semasa adalah satu perkara penting yang digunakan sebagai ukuran dan perbandingan nilai. Segala jenis keputusan penting boleh dibuat berdasarkan nilaian semasa. Apa yang pasti, nilai semasa kereta itu terlalu besar buat aku dalam keadaan sekarang ini. Dalam masa lima ke sepuluh tahun akan datang mungkin keadaan akan jadi berbeza buat aku.

Apabila melihat Maya yang masih muda telah pun berpeluang memandu kereta yang bernilai tinggi sebegini sudah cukup untuk aku membayangkan kedudukan kewangan keluarganya. Hal ini membuatkan aku bertambah gelisah.

Kami tidak banyak berbual sepanjang perjalanan tetapi sekadar mendengar siaran radio dari stesen swasta yang terkenal di ibukota. Sekali-sekala kami ketawa mendengar jenaka Bahasa Inggeris yang diucapkan oleh DJ radio tersebut.

Apabila lagu-lagu popular semasa berkumandang, Maya mulai ikut sama menyanyi. Aku tersenyum memandang gelagat gadis itu menyanyi. Tidak dinafikan yang aku turut merasa terhibur mendengar lagu-lagu yang berkumandang. Sedikit sebanyak ketegangan yang aku alami berkurangan.

Beberapa ketika kemudian, perlahan-lahan aku mulai humming mengikuti rentak lagu-lagu yang dinyayikan gadis itu. Gadis tinggi lampai itu tersenyum memandang aku sambil mengangguk-angguk mendengar bunyi bermelodi yang aku hasilkan. Apabila debaran hati aku mulai hilang, bunyi humming terus diganti dengan sebutan bait-bait lirik yang mulai jelas dari kotak suara aku.

Alright!” kata Maya tersenyum sambil mengisyaratkan aku supaya terus menyanyi. Tangan kanannya tetap terletak pada stereng. Sedar-sedar sahaja aku telah pun melontarkan vokal meniru suara penyanyi yang sebenar. Kami sama-sama menyanyi dan menggoyangkan tubuh mengikut rentak melodi. Kini, semua kegugupan dan kebimbangan telah hilang dari hati. Begitulah kuatnya pengaruh muzik terhadap minda dan emosi manusia.

Sesi nyanyian ala-karaoke kami terpaksa dihentikan apabila kereta yang dipandu telah diparkir di tingkat tiga tempat letak kereta kompleks membeli-belah tersebut. Kami keluar dari kereta dan aku terus mengikuti langkah gadis itu. Bunyi detak-detak kasut tumit tingginya bergema memenuhi ruang yang dipenuhi barisan kereta-kereta pengunjung kompleks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan