Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 31

Suasana di bangunan hangar sepi dan gelap. Cahaya dari lampu-lampu di medan letak kereta masuk menerusi dinding-dinding kaca. Ada beberapa pintu keluar di bangunan ini dan aku berjalan menuju pintu keluar di Bahagian Penyelenggaraan. Apabila telah melepasi waktu pejabat seperti ini, hanya pintu di Bahagian Penyelenggaran saja yang tidak dikunci.

Pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas tidak kelihatan. Jadual rondaan mereka adalah pada setiap satu jam. Mungkin mereka telah pun membuat rondaan sebentar tadi. Syarikat keselamatan yang memberikan perkhidmatan kawalan keselamatan di sini mempunyai sistem kitaran pekerja. Pengawal-pengawal itu hanya akan bertugas di satu-satu lokasi untuk tempoh sebulan. Kemudian mereka akan ditugaskan mengawal lokasi lain pula untuk bulan seterusnya. Oleh itu, kebanyakan pengawal yang bertugas di sini tidak aku kenali.

Aku telah pun melepasi yellow zone. Kini, di sebelah kiri aku adalah barisan bilik-bilik pengurus bagi setiap bahagian. Pentadbiran, Pemasaran, Jualan, Jualan Alat Ganti dan Penyelenggaraan.

Selama beberapa tahun bekerja di sini aku telah mencipta satu tabiat buruk. Setiap kali pulang lewat kerana bekerja lebih masa, apabila melalui barisan bilik-bilik pengurus, ketika semua orang tiada seperti waktu ini, aku akan melukis satu garis di sepanjang dinding bilik-bilik itu dengan menggunakan pen whiteboard marker bermula dari bilik pengurus pentadbiran dan berakhir di bilik pengurus penyelenggaraan.

Biasanya, pada waktu pagi sebelum semua orang tiba, pekerja-pekerja tukang bersih yang datang awal telah pun mencuci karya graffiti yang aku hasilkan itu. Aku mempunyai keinginan supaya pada suatu hari tukang bersih datang lewat dan pengurus-pengurus yang datang akan tergempar melihat karya seni itu. Namun, setelah beberapa tahun membuat onar begitu, ia belum lagi menjadi realiti.

Pada malam itu aku pun bersedia untuk menghasilkan sebuah lagi karya agung. Aku berdiri di tepi bilik Khalid Bin Dahlan, pengurus muda pentadbiran yang baru saja masuk bekerja menggantikan pengurus terdahulu yang berhenti kerja beberapa bulan lepas. Aku memandang ke dalam menerusi didnding kaca. Penglihatan aku terhalang oleh bidai yang telah pun diturunkan. Semua bidai di bilik-bilik pengurus yang lain juga turut diturunkan.

Pen marker telah aku sediakan. Sebelum hujungnya aku sentuhkan ke permukaan dinding kaca bilik Khalid, satu bunyi dentuman terdengar dari dalam bilik salah satu pengurus itu. Bulu roma aku tegak secara otomatik. Minda aku membayangkan berbagai-bagai perkara mistik dan paranormal. Mulanya, aku ingin segera cabut lari. Tetapi fikiran aku segera mencari rasional dalam hal tersebut.

‘Mana ada hantu la, Dol,’ hati aku mengejek diri sendiri.

Pen marker segera aku simpan. Aku ingin menyiasat bunyi apakah itu. Bunyi dentuman itu agak kuat dan mencurigakan. Bagaimana jika bunyi itu dibuat oleh pencuri yang telah pun berjaya masuk ke dalam salah satu bilik-bilik itu? Aku perlu bertindak mempertahankan harta syarikat. Tidak begitu? Atau mungkin juga aku patut membiarkan saja ia berlaku kerana kekayaan syarikat tetap tidak berganjak hanya dengan kecurian kecil-kecilan begitu.

Namun begitu, didorong oleh rasa bertanggungjawab, aku memberanikan diri untuk menyiasat. Aku berjalan perlahan-lahan. Pintu bilik Khalid aku tolak. Berkunci. Kemudian aku berjalan terus mendekati bilik pengurus pemasaran, Saraswathi Anak Perempuan Davendran. Pintu itu juga aku tolak. Berkunci juga. Langkah kaki aku teruskan lagi. Apabila mendekati bilik Bernard Lim, aku terdengar bunyi-bunyi aneh dari dalamnya. Ianya perlahan tapi masih dapat didengar. Aku cuba memastikan apakah bunyi itu, tetapi tidak dapat menentukan apakah ia.

Aku membuat keputusan untuk masuk memeriksa dengan mengejut. Sekiranya pencuri, aku akan bertindak dengan keras. Sebelum bergerak, aku menoleh ke kanan. Ada sekaki payung tergantung di dinding partition milik Suzi, eksekutif pemasaran bermulut becok yang belum aku ketahui apakah nama penuhnya. Payung itu aku capai untuk dijadikan senjata.

Bunyi-bunyi itu masih kedengaran dari dalam bilik Bernard. Selepas menarik nafas, dengan payung yang erat tergenggam di tangan, aku menolak pintu bilik pengurus jualan itu dengan kuat. Aku bernasib baik kerana ianya tidak berkunci. Pintu terbuka dan aku menyerbu ke dalam dengan payung yang terangkat tinggi. Sekiranya perlu, aku tidak akan teragak-agak untuk menghayun payung itu.

Cahaya dari lampu di koridor masuk ke dalam bilik itu. Dalam samar-samar cahaya aku terlihat dua lembaga. Walaupun dalam keadaan cahaya yang kurang, aku masih dapat mengenalpasti apakah lembaga-lembaga itu. Ia adalah satu pemandangan yang mengejutkan.

Kedua-dua lembaga itu ialah dua orang manusia. Manusia-manusia yang aku kenal. Yang pastinya mereka bukanlah pencuri. Cindy dan Bernard. Apa yang memeranjatkan adalah keduanya berbogel tidak berpakaian. Mereka berdua turut terperanjat dan memandang aku. Urusan mereka terhenti dengan kehadiran aku.

Aku segera memalingkan pandangan, menarik pintu untuk menutupnya kembali sambil berkata, “Sorry. I ingatkan pencuri. You guys carry on.”

Payung milik Suzi aku campakkan ke lantai. Cepat-cepat aku melangkah meninggalkan ruang itu. Kemudian, menuruni tangga, membelok ke kanan untuk ke Bahagian Penyelenggaraan dan akhirnya keluar melalui pintu yang ada di situ. Masih lagi dengan langkah yang cepat, aku berjalan mendapatkan kereta yang aku letakkan di petak parkir kakitangan.

Setelah enjin dihidupkan, tanpa menunggu untuk memanaskannya, aku terus menekan klac dan menolak pemegang gear, untuk masuk ke gear pertama. Pendikit aku tekan dengan kuat dan enjin menderum. Apabila klac dilepaskan, kuasa yang kuat juga dilepaskan sehingga tayar menggelincir menggerakkan kereta itu.

Ketika tiba di pondok pengawal, aku berhenti kerana dihalang oleh palang sekatan. Dua orang pengawal berbangsa Nepal menjengukkan kepala dari dalam pondok untuk memeriksa. Aku mempamerkan kad pengenalan pekerja kepada mereka, lalu palang pun diangkat. Seperti gaya Steve McQueen dalam filem Bullit, aku memandu meninggalkan pondok pengawal.

Sambil memandu, pemandangan sebentar tadi masih melekat di mata aku. Imej bogel Bernard Lim yang gemuk itu pasti akan menjadi igauan ngeri untuk beberapa hari ini. Aku mengutuk kebodohan diri sendiri kerana bertindak menjadi penyiasat tidak bertauliah.

“Kenapa la kau pandai sangat pegi check tadi? Tanggungjawab konon. Kalau kena rompak pun apa ada hal? Guard kan ada, insurans kan ada.”

Aku memandu kereta dengan laju melalui jalan yang lengang. Kemahiran memandu laju yang aku latih beberapa tahun ini aku praktikkan dengan penuh fokus. Perjalanan dari pejabat ke rumah biasanya mengambil masa 30 minit. Namun, dalam masa 20 minit aku telah pun mematikan enjin kerana kereta telah sedia diparkir di kawasan flat rumah aku.

Waktu-waktu sebegini, adalah mustahil untuk aku memperolehi petak berdekatan dengan lif. Semuanya telah penuh diambil oleh penghuni-penghuni lain yang telah pulang lebih awal dari aku. Jadi, terpaksalah aku meletakkan kereta dan berjalan kaki agak jauh ke rumah.

Pada jam tiga pagi, aku merebahkan badan di katil tanpa menukar pakaian. Mata sangat mengantuk. Badan sangat letih. Perut pula lapar. Tapi fikiran aku masih ligat menerawang ke seluruh alam. Drama skandal yang aku lihat tadi tidak lagi aku ambil pusing. Aku memang tidak suka jaga tepi kain orang.

Korang nak main ke, nak melingkup ke, aku peduli apa. Tapi janganla buat kat office.” Mulut aku mengomel.

Walau bagaimanapun, ingatan tentang Maya lebih mendominasi pemikiran aku. Apa yang dimahukannya? Mengapa dia nak bertemu dengan aku lagi? Patutkah aku bertemu dengannya? Soalan-soalan itu terus terngiang-ngiang hinggalah aku terlelap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan