Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 15

Kami makan malam di sebuah restoran makanan segera. Sesuai dengan tema restoran itu, makan malam kami ringkas dan menjimatkan masa. Pada jam 8.15 malam, Maya memandu keretanya meninggalkan Sunway Pyramid. Keadaan trafik sesak tetapi terkawal. Pada jam 8.45 malam, kami sampai di kawasan perumahan teres dua tingkat di USJ. Kereta Maya berhenti di depan sebuah rumah berpintu pagar keluli yang terletak di tengah deretan rumah-rumah yang sama rekabentuknya. Gadis itu mengeluarkan sejenis alat kecil berwarna hitam dan menekan butang yang ada di pemukanya. Pintu pagar keluli itu terbuka. Maya memandu keretanya masuk ke ruang porch. Ditekannya sekali lagi butang pada alat hitam kecil tadi dan pintu pagar keluli tadi tertutup kembali.

Apabila enjin kereta dimatikan, aku mengikutinya keluar dari kereta. Barang-barang yang ada di bahagian tempat duduk penumpang belakang aku ambil sebelum pergi mendapatkan gadis itu yang kini telah pun berada di muka pintu rumah. Maya mencari-cari kunci dari dalam beg tangannya. Sambil menunggu dia membuka pintu, aku memandang sekeliling. Rumah itu gelap kerana tiada lampu yang terpasang. Dari pancaran cahaya lampu jalan, aku dapat melihat halamannya kosong tanpa ada apa-apa tanaman hiasan. Hanya rumput permaidani yang kemas tercantas sahaja terhampar menutupinya.

Maya mengeluarkan kunci dari dalam beg tangan designer yang tergantung di tangan kirinya dan terus membuka pintu kayu. Sebaik pintu terbuka, satu bunyi, “Bip,” yang panjang nadanya, datang dari dalam rumah. Gadis itu segera masuk ke dalam rumah yang gelap. Aku terus menunggu di luar kerana belum lagi dipersilakan untuk masuk. Kemudian, aku terdengar pula bunyi,”Bip,” yang lebih pendek sebanyak empat kali. Serentak dengan bunyi itu, bunyi yang panjang pun hilang.

Security system,’ kata hati aku.

Gadis tinggi lampai itu menjengukkan kepalanya keluar dari pintu dan berkata, “U tunggu apa tu? Masuk, masuk. Mi casa es su casa.”

Aku pun membuka kasut, lalu masuk dan menutup pintu di belakang aku. Suis lampu ditekan dan cahaya menerangi ruang tamu rumah itu yang ringkas sahaja dekornya. Hanya satu set sofa 3 + 2 + 1, meja kopi, meja TV beserta sebuah TV jenama Sony bersaiz dua puluh sembilan inci dan sebuah meja makan enam kerusi sahajalah perabot-perabot yang melengkapinya. Sebuah gitar akustik jenama Yamaha berwarna hitam tersandar kemas di tiang penyandarnya bersebelahan meja TV. Sehelai langsir panjang tergantung hamper menutupi keseluruhan dinding dari siling hingga mencecah lantai, terletak di sebelah pintu yang kami lalui sebentar tadi. Aku pasti di sebalik langsir tersebut terbina sebuah pintu gelangsar yang besar.

Parents kau keluar ke?” aku bertanya.

I dok sorang kat sini. My dad kat Damansara.” Jawabnya ringkas. “Jom, naik atas.”

Maya menaiki sebuah tangga batu yang ada di sebelah kanan bahagian tengah rumah menuju ke tingkat atas. Aku mengikutinya. Ketika memanjat tangga itu, aku menoleh ke kiri dan melihat ruang dapur di bahagian belakang. Dapur itu bersih dan lengkap dengan peralatan dan juga almari-almari kabinet yang menutupi sebahagian dinding-dindingnya.

Aku sampai ke tingkat atas. Cahaya lampu mula menerangi ruang legar tingkat atas kerana Maya yang terlebih dulu sampai di situ telah menghidupkan suis lampu. Aku nampak empat lagi pintu, tiga di kanan dan satu di kiri. Aku meneka yang dua pintu di sebelah kiri yang keduanya mengapit pintu yang satu lagi adalah pintu-pintu bilik tidur. Pintu yang tengah itu pula pastilah pintu bilik air. Sementara pintu di sebelah kanan pula ialah pintu bilik tidur utama.

Gadis cantik itu kini telah pun berada di dalam bilik yang aku kira sebagai bilik tidur utama itu tadi, yang kini telah pun diterangi cahaya lampu. Aku hanya berdiri diam seperti tiang di luar bilik. Tidak lama kemudian, dia keluar semula dan menghulurkan sehelai tuala kepada aku.

U mandi dalam bilik air tengah tu,” dia memberikan arahan ringkas.

Aku meletakkan beg-beg shopping tadi di atas lantai ruang legar dan terus memasuki bilik air. Untuk mandi, aku hanya mengambil masa 5 minit. Dengan hanya membaluti tubuh yang lembab dengan tuala, aku keluar dari bilik air. Oleh kerana Maya tidak memberikan apa-apa kebenaran untuk menggunakan mana-mana bilik yang ada di situ, maka aku pun mengenakan pakaian-pakaian yang baru dibeli tadi di ruang legar itu sahaja.

Aku terus mengenakan semua pakaian yang dibeli tadi ke tubuh. 5 minit sahaja semuanya telah selesai. Kini tinggal satu sahaja masalah. Aku mengetuk pintu bilik gadis tinggi lampai itu. Pintu itu renggang tidak ditutup sepenuhnya.

*****

“Masuk!” kedengaran jawapan dari dalam bilik.

Aku menolak pintu yang tidak ditutup sepenuhnya itu perlahan-lahan. Apabila pintu telah terbuka sepenuhnya, aku pun masuk. Susunatur dan perabot yang ada di dalam bilik itu terus kabur dari tumpuan aku. Hanya satu objek di dalam bilik itu yang kini menjadi tumpuan aku dan ia membuatkan jantung aku berdegup kencang. Lebih kencang dari seluruh degupan sebelum ini.

Di sebelah kiri bilik itu, Maya berdiri mengadap cermin dari sebuah almari dandan. Kedudukan almari itu membuatkan aku hanya dapat melihat belakang tubuh gadis itu sahaja. Namun, itu pun sudah cukup. Aku jadi serba salah. Mahu terus masuk atau keluar semula. Lalu aku terus terpaku di muka pintu. Maya tidak memakai apa-apa. Hanya bra dan seluar dalam sepadan berwarna merah jambu sahaja yang menutupi tubuhnya.

Dari keadaannya itu, jelaslah yang gadis itu belum lagi mandi. Dia sedang sibuk membersihkan mekap dan tidak langsung mempedulikan aku. Tangannya bergerak-gerak membersihkan wajah dengan menggunakan peralatannya. Otot-otot di bahunya turut bergerak-gerak bersama gerakan tangannya. Kulitnya yang putih melepak terdedah.

Aku merasa bersalah memerhatikannya dalam keadaan demikian. Lantas aku alihkan pandangan ke arah perabot-perabot yang ada di bilik tersebut. Sebuah katil queen size dan dua buah meja sisi di kiri dan kanan katil. Sebuah almari tempahan khas terpasang memenuhi seluruh dinding bahagian kanan bilik tersebut. Seluruh perabot-perabot di bilik tersebut sedondon warnanya, biru laut. Sebuah langsir bertentangan dengan pintu tempat aku berdiri, tergantung dari siling hingga menyentuh lantai. Ianya sama sepertimana langsir yang aku lihat di ruang tamu. Bau haruman air-freshener memenuhi ruang bilik. Beginilah rupa keadaannya berada di dalam bilik tidur seorang anak gadis. Bilik Maya.

Yes, Alip!” Maya menyapa aku yang masih memandang ke arah almari. “Haa… Memang U nampak gempak pakai macam ni.”

Suara itu kedengaran begitu hampir dengan aku. Aku pun menoleh. Namun, segera aku palingkan semula wajah ke arah almari. Gadis cantik tinggi lampai itu kini berada benar-benar di sebelah kiri aku, masih belum berpakaian seperti tadi.

“Aku tak pandai nak set rambut macam yang kawan kau buat tadi. Kau pandai buat ke?”

Sure! Come!”

Tubuh aku terdorong mendekati gadis itu apabila dia menarik tangan aku mendekati almari dandan. Di sebelah almari itu terdapat sebuah pintu. Aku pasti, ianya adalah sebuah bilik air. Kini aku berdiri di depan almari dan Maya berdiri di sisi aku. Dia mengambil sebuah botol dan memicit kandungannya, sejenis pekatan, ke atas tapak tangannya. Kemudian, gadis itu melumurkan pekatan tersebut di rambut aku.

“Apa tu?”

Wax.”

Tangannya terus meratakan wax tersebut ke keseluruhan rambut aku dan mula membentukkan gaya yang sama seperti dibuat oleh Sarah petang tadi.

“Kau tak nak pakai baju ke, Maya?”

“Kenapa? Tak suka tengok ke?”

“Bukan sebab tak suka. Tapi aku susah nak nafas tengok kau macam ni.”

Tangannya masih bergerak-gerak di kepala aku, menguis-nguis rambut aku ke sini dan ke sana. Mata aku pula terpandangkan dadanya yang bergerak-gerak mengikut gerakan tangannya itu. Terdorong oleh rasa bersalah sekali lagi, aku segera memejamkan mata.

“Kalau suka tengok je. Orang lelaki boleh je jalan sana-sini tak pakai baju, orang perempuan pun boleh jugak, kan?” Dia begitu bersahaja. “Okay, done!”

“Suka hati kau la. Aku tunggu kat bawah. Aku tengok TV kau, boleh?”

“Silakan, tuanku!”

Aku beredar dengan segera. Ketika melangkah, aku dapat mendengar Maya tertawa kecil di belakang aku. Mungkin dia mentertawakan tingkah laku aku yang jadi serba tak kena melihat keindahan ciptaan Tuhan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan