Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 25

Sejak dari malam itu, Maya terus menerus mengajak aku mengikutinya keluar malam. Dia memberikan alasan bahawa aku berupaya mendisiplinkannya untuk pulang awal. Oleh kerana berasa bertanggungjawab menjaganya, aku pun ikut serta ke kelab… pada hampir setiap malam.

Ada kebenaran dalam kata-kata Maya. Sejak aku mengikutinya ke kelab, gadis itu minum tidak terlalu banyak dan dapat pulang ke rumah lebih awal.

Walau bagaimanapun, tidak kira bagaimana seseorang itu berhati-hati menjaga pakaiannya dari terkena kotoran ketika berada di bengkel membaiki kereta, tetap tidak dapat mengelak dari terkena palitan minyak di tangan. Begitulah perumpamaan yang aku buat terhadap keadaan diri aku. Apabila setiap malam aku bergaul dengan kumpulan itu, yang kesukaan mereka ialah berfoya-foya, akhirnya aku tidak lagi dapat mengelak daripada menjadi seperti mereka. Menyukai apa yang mereka sukai. Seperti kata Don, I’m one of them.

Pada awalnya, di malam-malam hari bekerja, aku berkeras menolak jemputan mereka minum. Bagaimanapun, pada malam-malam hari minggu, aku tidak lagi dapat menolak. Beberapa lama selepas itu, sama ada hari bekerja atau hari minggu, menjadi sama sahaja. Kesemua disiplin yang aku pertahankan telah musnah sama sekali.

Kadangkala aku dan Maya  sama-sama mabuk teruk sehinggakan Don terpaksa menghantar kami pulang. Pada keesokannya, kami menaiki teksi untuk mengambil kereta yang ditinggalkan diparkir berhampiran kelab.

Aku juga telah mula merokok. Tidak dapat aku ingati bilakah saat aku mula-mula menyentuh tabiat itu. Tapi aku sangat pasti yang ia berlaku ketika aku di bawah pengaruh alkohol yang teruk. Aku dan Maya sama-sama berkongsi jenama rokok… Marlboro.

Tidak cukup di kelab, di rumah juga kami minum. Maya sering memastikan stok minuman keras sentiasa ada di rumah. Wiski, vodka, brandi dan beer. Setiap kali membuka peti sejuk, sekurang-kurangnya botol-botol beer pasti ada di dalamnya.

Tidak cukup dengan itu, Maya turut mengajar aku menghisap ganja. Gadis itu mengajar aku bagaimana cara-cara untuk menghancurkan daun ganja dan membalutnya dengan kertas. Kadang-kadang kami menghisap dengan menggunakan bong, sejenis botol unik yang digunakan khas untuk menghisap ganja.

Botol itu lebih sesuai dilihat sebagai sebuah tiub kaca yang berbentuk seperti huruf J, di mana kedua-dua hujungnya merupakan saluran bagi sistem bong itu. Saluran yang lebih tinggi adalah outlet iaitu laluan udara keluar, manakala saluran yang lebih rendah ialah inlet, laluan udara masuk. Walau bagaimanapun, saluran inlet lebih kecil dan sebuah corong keluli dipasang di mulutnya. Bong mempunyai tapak supaya boleh diletak berdiri di atas permukaan rata dengan mudah.

Air akan diisi ke dalam botol itu sehingga memenuhi kedua-dua saluran tetapi tidak sampai melimpah keluar dari saluran inlet yang lebih rendah itu. Daun-daun ganja yang telah dihancurkan akan disumbat memenuhi corong keluli. Daun-daun itu akan dibakar dengan menghalakan api dari pemetik api ke corong. Serentak dengan proses pembakaran, seorang penghisap harus segera menyedut udara dari saluran outlet. Perbuatan ini akan memindahkan udara dari saluran inlet ke dalam air dan seterusnya ke saluran outlet.

Pergerakkan udara itu secara tidak langsung akan memarakkan pembakaran daun dan menghasilkan asap yang banyak. Udara yang bercampur dengan asap akan bergerak masuk ke dalam air. Gelembung-gelembung udara yang bercampur asap akan terbentuk di dalam air dan terbebas keluar ke saluran outlet. Udara bercampur asap ini kemudiannya disedut oleh penghisap dengan kuat. Hasilnya ialah, satu tendangan khayal yang sangat berkuasa dan berupaya membawa penghisap ke langit biru dalam sekelip mata.

Seorang penghisap ganja yang mahir dapat menghisap menggunakan bong seorang diri tanpa pertolongan sesiapa. Sambil menyedut udara, penghisap mahir akan memegang pemetik api sambil menghalakan nyalaan api ke dalam corong supaya pembakaran daun-daun akan menjadi sempurna. Asap yang banyak adalah objektif utama dalam proses ini. Penghisap yang belum mahir kadangkala menghadapi kesulitan untuk mengawal api dan menghasilkan tahap asap yang optimum.

Dalam hal aku dan Maya, sudah pastilah gadis itu lebih mahir berbanding aku. Dia sering membantu aku mengawal nyalaan api ketika aku cuba menyedut asap. Kaedah kegemaran kami ketika menghisap ganja ialah dengan cara menghisap asap yang berkepul-kepul terus dari mulut gadis itu.

Apabila telah khayal, kami berdua akan melepak dengan rasa gembira, bergelak ketawa di tingkat bawah. Kadangkala kami menonton TV dan kadangkala kami menyanyi sambil bermain gitar.

Hubungan kami di rumah itu semakin intim. Aku tidak lagi tidur bersendirian. Bahkan tempat tidur rasmi aku kini adalah bersama gadis itu. Hubungan seks antara kami sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Party yang kami hadiri di kelab-kelab tidak cukup memadamkan kedahagaan kami untuk berhibur. Kami turut mengadakan party di rumah-rumah rakan dan kenalan. Bergilir-gilir dari rumah ke rumah hampir setiap minggu. Rumah yang kami tinggal itu pun telah berkali-kali menjadi hos kepada pesta muda-mudi yang berakhir dengan semua pesertanya tumbang dalam keadaan mabuk. Apabila siang menjelma, keadaan rumah yang mulanya kemas dan bersih menjadi kotor dan tunggang-langgang.

Apa yang pasti, kesibukan aku dengan aktiviti khayal, mabuk-mabuk dan berpesta bersama Maya dan rakan-rakannya telah banyak melupakan aku kepada pelajaran. Pada peperiksaan akhir semester kelima itu, buat pertama kali, aku masuk ke dewan peperiksaan dalam keadaan tidak bersedia. Pertama kali aku termangu-mangu merenung kertas soalan kerana tidak tahu jawapan apa yang patut aku tulis.

Bukan itu saja, kerana penat berpesta hingga larut malam, aku bangun lewat dan tidak hadir ke dewan peperiksaan untuk tiga subjek. Apabila peperiksaan akhir semester telah tamat, aku sedar yang aku telah pun mengucapkan selamat tinggal kepada biasiswa yang selama ini aku jaga dan pelihara dengan baik.

Walau bagaimanapun, aku tidak pun berasa kesal. Pengorbanan itu aku rasakan sangat berbaloi kerana kini aku dapat bersama dengan seorang yang telah lama aku idamkan. Maya. Tanpa aku sedari, aku sebenarnya telah tertipu dengan keelokan rupa paras sehingga tidak lagi dapat membezakan antara permata dan kaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan