Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 32



Aku memeriksa pakaian di tubuh. Semuanya baik. Langkah yang kemas aku atur merentasi ruang legar Istana Hotel. Menurut pekerja di concierge, restoran makanan Itali terletak di sudut kiri ruang legar itu. Aku pun menuju ke arah yang disebutkan. Setiba di muka pintu restoran, seorang gadis pekerja menyambut dengan wajah yang manis.

Welcome, sir! Do you have any reservation?”

Yes, indeed I have. It’s under Miss Maya Azrina,”

Gadis itu memeriksa senarai di tangannya, kemudian mendongak memandang aku masih dengan senyuman sambil berkata, “Follow me, please!”

Aku menurut arahannya sambil tunduk memandang kaki gadis itu. Langkah yang aku ekori berhenti di sebuah meja. Pandangan diangkat. Dia telah pun berada di situ… menunggu. Aku tidak dapat menahan diri dari berasa terpesona dengan apa yang aku lihat.

Gadis penyambut tetamu itu menarik kerusi dan mempersilakan aku duduk. Aku pun duduk. Selepas menyediakan meja, dia pun meninggalkan kami. Mata aku masih terpaku pada wajah individu di depan aku.

“Hai, Alip!” Maya menyapa sambil tersenyum manis..

Aku tidak menjawab tetapi hanya mengangguk. Tiada senyuman yang aku lemparkan kepadanya sebagai balasan.

You look outstanding,” wanita itu meneruskan kata-kata memecah kesunyian.

Aku tetap membisu tidak menjawab dan hanya mengangguk. Wajah aku masih lagi tidak menunjukkan sebarang perasaan.

U tak nak cakap apa-apa ke kat I?” Wanita itu mula rasa janggal dengan sikap dingin aku barangkali.

Tiba-tiba rasa marah timbul meluap-luap dalam hati lalu aku pun berkata, “Dah lama aku nak kata macam ni kat kau. May you die in a pool full of liquid shit!”

Serentak dengan terucapnya kata-kata kasar itu, aku terus mengangkat tangan ke arahnya. Sepucuk pistol separuh otomatik berada di tangan aku. Aku tidak tahu sejak bila pistol itu berada di situ. Picu ditarik berkali-kali dan bunyi letupan kuat berturut-turut pun terhasil. Pemandangan yang berlaku selepas itu sangat menakutkan.

Liang-liang berdarah terbentuk di dada dan perut wanita itu. Jeritan kesakitannya begitu dahsyat dan mengerikan. Orang ramai di sekeliling turut menjerit panik. Suasana menjadi bising dan hingar-bingar. Darah terpercik ke sana sini. Sedikit darah terpercik ke muka aku. Aku terkejut lalu membuka mata. Semuanya hilang. Dalam keadaan terpinga-pinga aku memandang sekeliling.

“Mimpi pulak,” ujarku apabila mendapati aku masih di atas katil.

Bilik tidur aku sememangnya gelap. Satu-satunya tingkap yang ada telah aku tutup dengan langsir berwarna coklat pekat dari kain kapas tebal. Cahaya matahari tidak dapat masuk sekiranya langsir itu tidak disingkap.

Suasana di luar bising menandakan hari telah siang. Aku jarang dapat menikmati suasana hingar-bingar flat murah itu di waktu siang kerana sering keluar rumah ke tempat kerja pada awal pagi. Suasana begitu hanya dapat aku rasai di hujung minggu. Apabila mendengar bunyi bising begitu, aku sedar yang aku telah kesiangan.

“Pukul berapa ni?”

Lantaran suasana yang gelap, jam di dinding tidak dapat aku lihat dengan jelas lalu meraba ke sana ke sini mencari jam tangan. Aku mempunyai tabiat membuka jam itu dan meninggalkannya di meja TV apabila pulang dari kerja. Mungkin aku telah tinggalkannya di situ ketika pulang dalam keletihan malam tadi.

Tangan aku mengusap-usap seluar yang aku pakai untuk mencari telefon. Sejuk sahaja suhu alat itu apabila aku mengeluarkannya dari poket seluar. Butang di sisi alat buatan Samsung itu segera aku tekan. Tiada apa-apa yang berlaku.

“Bateri habis pulak.”

Akhirnya aku bangkit dari pembaringan. Untuk seketika, aku duduk di bibir katil dengan kaki terjejak di lantai. Aku terhidu bau masam yang terhasil dari pakaian kerja yang tidak ditanggalkan dari tubuh semalaman. Dengan rasa malas, aku berdiri lalu berjalan keluar dari bilik. Suis lampu ruang tamu ditekan dan cahaya menerangi ruang itu.

Perkara pertama yang aku lakukan ialah memandang ke arah jam dinding di ruang tamu. Jarum pendek jam yang aku beli di Ikea itu menunjuk ke angka dua.

Damn! Pukul dua dah. Tido mati aku malam tadi.”

Aku menggeliat dan menguap serentak. Memandangkan waktu yang telah terlalu lewat begitu, tidak perlulah aku tergesa-gesa untuk ke pejabat. Lebih baik aku ke klinik saja untuk mendapatkan sijil cuti sakit dari doktor.

Perut terasa sangat lapar. Baru teringat, sejak malam tadi aku tidak makan apa-apa. Kerana dorongan naluri, secara langsung kaki segera mahu melangkah ke dapur untuk mencari makanan. Tetapi niat itu aku batalkan lalu bergerak masuk ke dalam bilik tidur dan menyingkap langsir. Bilik itu terang dipenuhi cahaya.

Aku menghampiri meja kecil di tepi katil yang juga buatan Ikea dan mencapai wayar pengecas bateri telefon yang terdampar di atasnya. Sambungan di hujung wayar itu aku cucuk masuk ke soket kecil di telefon yang sejak dari tadi ada di tangan. Aku menunggu beberapa ketika untuk memastikan arus elektrik telah mula mengalir masuk ke dalam bateri sebelum menekan suis di alat itu. Setelah tulisan Samsung muncul di skrin telefon, barulah aku bangun bergerak ke dapur.

Aku mengeluarkan sekotak susu dan sebungkus roti Gardenia Delicia perisa butterscotch dari dalam peti sejuk. Makanan-makanan itu aku bawa ke meja makan putih berbentuk empat segi sama dengan saiz 30 inci panjang dan lebarnya, yang juga aku perolehi dari Ikea. Aku makan dengan lahap. Roti yang baru luak beberapa keping sejak kelmarin semuanya habis aku lantak. Kotak berisi susu juga habis aku teguk masuk ke dalam perut. Barulah lega apabila perut telah diisi.

Selesai makan, aku mula terasa ingin merokok. Fikiran aku ligat megingati di manakah letaknya bungkusan Marlboro soft pack yang baru aku beli semalam.

“Dalam beg la, Dol,” ucap aku apabila ingatan itu muncul.

Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Beg itu tidak dapat aku temui di mana-mana.

“Mana pulak beg buruk aku ni?”

“Ooo… dalam kereta. Dah makin tua ni makin pelupa pulak.”

Aku tidak dapat menahan keinginan untuk merokok. Tanpa mengendahkan rupa paras yang tidak terurus, aku terus bergerak ke pintu utama. Mangga pintu aku buka dan terus keluar. Masa yang diambil untuk menunggu dan menaiki lif untuk naik dan turun tingkat 9 mengambil masa sepuluh minit sekiranya lif tidak sesak dengan penghuni flat. Perjalanan ulang alik ke tempat aku meletakkan kereta pula mengambil masa lagi sepuluh minit. Kesusahan itu semua sanggup aku tanggung semata-mata untuk menikmati kepuasan menyedut asap rokok.

Lebih kurang dua puluh minit kemudian, aku telah kembali duduk di meja makan. Aku membuka beg untuk mencari bungkusan rokok. Beg yang terbuka mempamerkan bukan hanya rokok yang aku cari bahkan dokumen-dokumen yang aku bawa balik dari pejabat malam tadi.

“Alamak!”

Apakah yang terjadi kepada perbincangan penting antara pegawai-pegawai dari Bahagian Perakaunan dan pemimpin-pemimpin dari yellow zone itu dengan ketiadaan laporan-laporan ini? Aku berasa tidak sedap hati.

Perasaan bimbang mula menguasai diri hingga terus terlupakan niat untuk merokok. Aku masuk ke bilik tidur untuk mendapatkan telefon. Aku mendapati ada satu mesej pesanan ringkas atau SMS yang belum dibaca. Mesej itu segera aku buka dan mendapati ia adalah mesej dari Maxis.

“16 missed calls?!”

Aku menyemak nombor-nombor yang tersenarai. 5 panggilan dari telefon pejabat, 7 panggilan dari Dina dan 4 panggilan dari nombor yang tidak aku kenal. Aku mempunyai firasat tentang nombor yang tidak dikenal itu lalu segera memeriksa nombor-nombor yang tersenarai dalam senarai panggilan diterima. Nombor tidak dijawab itu sama dengan nombor yang memanggil aku pada jam tujuh malam tadi. Maya.

Menyedari Maya cuba menelefon, ingatan terhadap mimpi malam tadi kembali. Adakah begitu teruk perasaan marah aku kepadanya sehingga sanggup untuk menjadi seorang pembunuh?

A pool full of liquid shit?!” Menyebut semula ayat itu membuat aku tersenyum-senyum. Dalam mimpi pun masih sempat melawak lagi.

Aku segera melupakan Maya seketika dan terus menelefon Dina. Lagu caller ringtone telefon gadis itu terpasang. Seketika kemudian, panggilan aku dijawab.

Dude! U pegi mana? I try call U banyak kali, phone U off,” gadis itu bersuara cemas.

“Ada kat rumah ni. MC. Apa jadi kat sana?”

All hells break lose, that’s what happened here.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan