Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 37

Masa yang aku ambil untuk mandi dan bersiap amat pendek. Seketika kemudian, aku pun berdiri di depannya yang sedang asyik menonton TV.

“Okey, jom,” kata aku kepadanya.

Aku memakai baju-T dengan gambar band Led Zepplin berwarna hitam dipadankan dengan jeans Levi’s 501 biru tua. Seperti biasa, jam tua keluaran tahun 1994 terpakai di tangan. Casio G-Shock model DW-6600 itu telah mengalami proses pembaikpulihan yang menyeluruh. Terima kasih kepada perkembangan dunia internet, barang-barang ganti jam itu dapat aku cari dengan mudah. Pada hari ini, model ini telah dikategorikan sebagai salah satu collector’s item yang bernilai tinggi. Walau apa pun, ia sememangnya telah lama menjadi sesuatu yang berharga buat diri aku. Hadiah SPM dari ibu.

 I like your hair.” Maya memuji.

Rambut yang baru aku potong minggu lepas, aku bentuk berceracak tegak ke langit menggunakan wax. Ia dibuat mengikut gaya rambut anak muda terkini.

Wanita itu bingkas berdiri. Ketinggiannya yang sama dengan aku membuatkan mata kami bertentangan sama paras. Dengan pandangan itu, hati aku mula bergetar. Getaran yang telah sekian lama tidak aku rasakan. Segera aku melarikan pandangan.

Kami bergerak ke pintu. Di situ, Maya menundukkan badan untuk menyarungkan kasut tumit tingginya. Sementara aku pula membuka almari kasut Ikea dan mengeluarkan sepasang Converse Chuck Taylor hitam edisi terhad diperbuat dari kulit. Kalau belasan tahun dulu kasut jenis itu hanya ada sepasang dalam simpanan aku. Kini, aku memiliki beberapa pasang yang kebanyakannya adalah limited edition. Aku memang peminat tegar Chuck Taylor.

Beberapa tahun lalu, ketika Converse jatuh bankrap, aku turut berasa sedih. Keseluruhan zaman remaja aku dilalui bersama-sama jenama kasut tersebut. Jenama itu sedikit sebanyak mempunyai nilai sentimental bagi aku. Namun, apabila Nike mengambil-alih pemilikan Converse tidak lama selepas itu, aku turut berasa lega seolah-olah Converse dan Nike adalah dua saudara-mara rapat yang mempunyai pengaruh besar dalam hidup aku.

Selepas mengunci pintu dan jeriji besi, aku berjalan di sisi Maya menuju ke lif. Sejak dulu lagi, setiap kali dia mengenakan kasut-kasut tinggi, ketinggiannya akan mengatasi aku. Terutamanya apabila kami berjalan berdampingan. Wanita itu memandang aku dari atas ke bawah.

“Kenapa pandang macam tu?” Tiba-tiba aku teringat peristiwa dulu lalu menyambung kata-kata, ”Jangan memandai nak belikan I baju. I like what I’m wearing. It’s vintage.”

No, I’m fine with it. I cuma nak cakap, U nampak 10 tahun lebih muda.”

*****

“Kita naik kereta I, boleh?” pinta wanita itu.

“Okey.”

Kami berjalan meninggalkan lif di ruang bawah flat itu yang menjadi medan letak kereta bagi penghuni-penghuni dan pelawat-pelawat. Sampah kelihatan di sana-sini. Kebanyakan penghuni di sini adalah migran dari negara-negara mundur yang rata-ratanya juga mundur dari segi sikap dan kesedaran sivik.

Aku mengekori Maya hinggalah akhirnya dia berhenti di sisi sebuah Volkswagen Polo berwarna merah. Masih dengan jenama dan model sama seperti dulu. Cuma bezanya yang ini adalah model MK6 GTI terbaru. Jantung 1.8 liter turbo di dalamnya mampu menjana kuasa mencecah 190 kuasa kuda. Sekurang-kurangnya itulah maklumat tentang kereta itu yang pernah aku baca di sebuah majalah otomotif.

“Polo lagi?” ucap aku pendek.

“Saja nak kekalkan nostalgia dengan U.”

Aku kehairanan mendengar jawapannya itu. Dalam keadaan kehairanan itu kami memasuki kereta. Bau vinyl dan aksesori kulit masih kuat.

“Bila ambik ni?”

Last week.”

Aku mengangguk-angguk mendengar jawapannya. Jauh di sudut hati, aku berasa seolah-olah dibawa oleh mesin masa ke zaman silam.

*****

Kami telah berada di ruang legar concourse kompleks membeli-belah Suria KLCC. Terdapat satu pameran produk kecantikan sedang dibuat di ruang itu. Gadis-gadis promoter yang muda dan cantik kelihatan sibuk melayan pengunjung-pengunjung yang singgah.

“Kita makan dulu, pastu baru kita gi tengok wayang, boleh?”

“Okey,” jawab aku pendek.

Undangannya untuk makan, aku anggap seperti pepatah, ‘Orang mengantuk disorongkan bantal.’ Perut aku yang lapar sejak tadi mungkin sedang menjerit, ‘Horay!’ apabila diajak ke restoran dulu. Kami naik ke tingkat empat dan menuju ke restoran Madam Kwan. Di muka pintu restoran, seorang pelayan perempuan menyambut kedatangan kami.

“Selamat datang!”

Maya terus meminta, “Table for two, please.”

Kami mengekori pelayan itu ke sebuah meja di tengah-tengah ruang restoran. Suasana agak lengang kerana waktu makan tengahari telah lama berlalu. Kami duduk dan risalah menu diletakkan di depan kami. Makanan yang diingini terus dipesan.

Sementara menunggu makanan tiba, wanita di hadapan aku itu terus berbual. Kebanyakan masa, aku hanya mendiamkan diri dan memandangnya dengan wajah tanpa senyuman.

“Dari tadi, asyik I je yang cakap. U tak nak cakap apa-apa ke kat I?”

Pertanyaannya itu ibarat telah menghidupkan satu suis di dalam diri aku. Suis kemarahan yang meluap-luap. Barulah aku sedar, keadaan ketika itu ada sedikit sebanyak persamaan dengan mimpi yang aku alami satu ketika dulu.

Aku segera memandang ke kedua tangan yang aku letak di atas peha. Manalah tahu tiba-tiba saja muncul pistol dalam tanganku seperti yang aku mimpikan dulu. Aku lega kerana tiada apa-apa di tangan. Bagaimana pun, kemarahan itu benar-benar sama seperti yang aku rasai di dalam mimpi tersebut.

U nak I cakap apa lagi, Maya? After what you have done to me, you still have the guts to come and look for me?”

Riak wajah ceria di wajah wanita itu hilang serta-merta. Dia hanya mendiamkan diri. Aku yang belum puas hati terus menyerang.

“Kau nak aku cakap? Okey, biar aku cakap sekarang. Kau dengar apa aku nak cakap. Jangan menyampuk.”

Nada dan perkataan-perkataan yang keluar dari mulut aku semakin keras pada pendengaran sesiapa pun.

To begin with, result exam aku semester tu… teruk. Teruk sangat sampai aku kena buang universiti. Biasiswa tak usah cakap la… ditarik balik. Apa yang diorang dah invest diorang suruh aku bayar balik as loan. Aku kena bayar balik semua expenses tu kat diorang. Aku bayar semua tu untuk apa? For nothing! Not even a certificate.”

“Aku kena merayu-rayu depan dekan. Apa nama dekan tu, aku lupa…? Haa… Prof Halim. Dia bagi aku masuk belajar semula tapi cuma untuk buat diploma.”

“Aku habiskan diploma tu penuh azab sengsara kau tau. Malam kerja, siang pegi kelas. Aku bukan orang kaya macam kau. Bukan boleh main-main macam kau.”

“Paling teruk… I have lost the will to fight. Kena tindas jadi kuli sebab qualification aku rendah. Baru-baru ni orang-orang kat office buli aku sampai aku resign. Sekarang aku tak kerja.”

Last month, aku terserempak dengan Kasim. Kau kenal Kasim? Aku tau kau tak kenal Kasim. Kau tak pernah pandang sapa-sapa sebelah mata pun. Termasuk aku… kau tak pandang aku sebelah mata pun sebenarnya.”

“Kalau kau boleh ingat, Kasim tu roommate aku dulu. Classmate kita. Dia belanja aku minum kat satu restoran. Masa nak balik dia bagi aku dia punya business card. Dia sekarang dengan government, jadi pengarah kat Putrajaya. Kasim tu dulu, double-entry system pun seminggu aku kena ajar baru dia boleh faham.”

“Aku bukan nak dengki dengan Kasim. Malah, I’m happy for him. Tapi… aku mungkin ada peluang untuk duduk setaraf macam Kasim… kalau kau tak menceroboh masuk dalam life aku. And for what? For a bet? Semata-mata nak puaskan ego kau. Semata-mata supaya orang kata kau handal? Well, Dulu kawan baik kau tu… sapa nama dia…? Ayu… yes, Ayu. Dia dah bagitau kau. Sekarang, biar aku bagitau kau pulak. Kau… memang… handal! Apa lagi kau nak dengar aku cakap?”

“Maya, do me a favour. Stay away from meplease.”

Aku terus berdiri dan berlalu meninggalkannya. Sambil melangkah, imej matanya yang merah berkaca masih terbayang di mata aku. Keadaan ini tak jauh bezanya dengan apa yang aku mimpikan. Kalau dalam mimpi itu aku mencederakan tubuhnya dengan senjata api. Dalam realiti ini, aku telah benar-benar mencederakan hatinya dengan kata-kata aku yang jauh lebih bahaya dari apa sahaja jenis senjata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan