Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 28

Hari pendaftaran yang aku tunggu-tunggu pun tiba. Aku bertolak ke universiti seawal pagi. Ibu dan ayah tidak mengesyaki apa-apa. Mereka memberikan wang saku dan menghantar aku ke stesen bas.

Setiba di universiti, aku segera menuju ke bangunan Fakulti Perakaunan. Beberapa orang rakan yang mengenali aku menegur. Setiap seorang dari mereka pasti bertanyakan tentang keputusan semester lepas aku.

“Berapa A+ hang dapat kali ni, Alip?” Soal Kasim.

Semua soalan itu tidak aku jawab. Sekiranya mereka tahu kedudukan sebenar, pasti mereka terkejut.

Aku segera ke pejabat dekan fakulti, Professor Abdul Halim Bin Zainal Abidin yang biasa dikenal dengan gelaran Prof Halim. Simbol yang menandakan beliau ada di dalam biliknya tertera. Aku meletakkan harapan yang tinggi terhadap pertemuan ini. Aku segera bertemu dengan pembantu beliau, Puan Azizah Binti Md Dewan.

Aku memberitahu Puan Azizah aku ingin bertemu dengan Prof Halim. Puan Azizah yang telah sedia mengenali aku kerana telah berulang-kali aku datang menemui ketua fakulti itu, memberitahu yang pegawai itu tidak dapat ditemui sekarang. Aku memberitahu wanita itu hal yang aku ingin kemukakan kepada dekan fakulti itu sangat penting.

Puan Azizah meminta aku supaya menunggu seketika. Aku pun berbuat seperti yang diminta sementara wanita itu terus masuk menemui pegawai atasannya. Seketika kemudian, dia muncul dan mempersilakan aku masuk.

Sebaik aku melangkah masuk, Prof Halim terus memulakan bicara apabila dia melihat aku, “Alif Iman! What on earth happened to you? Ketua kursus U datang jumpa I personally bila result U keluar. You are the pride and joy of this faculty. Kenapa tiba-tiba jadi macam ni?”

Takde apa yang saya boleh terangkan, Prof. Saya mengaku, semuanya salah saya. Being young and stupid. Saya datang jumpa Prof sendiri sekarang semata-mata untuk tanya, ada tak kemungkinan saya diberikan second chance?”

“Hmm… Sekarang ni I ada important matters to attend to. We will have a meeting to discuss about your case. U jumpa Azizah. Nanti dia terangkan apa U kena buat.”

“Baik, Prof. Thank you, Prof.”

Aku pun keluar dari bilik ketua fakulti itu lalu segera menemui Puan Azizah.

Aku berkata kepada wanita itu, “Puan, Prof mintak saya tanya puan tentang macamana saya nak buat rayuan untuk kes saya tu.”

“Alip, satu fakulti semua tau hal awak. Kenapa jadi macam tu?”

“Susah nak cerita la, puan. Pendek cerita, saya yang bodoh tak tau buat pertimbangan.”

Wanita itu seolah-olah faham dan tidak lagi banyak bertanya. Kemudian, dia terus menerangkan kepada aku prosedur-prosedur untuk membuat rayuan. Aku mendengar dengan teliti dan mencatat semuanya dalam buku nota yang memang sentiasa ada di beg galas yang sentiasa aku bawa ke sana dan ke sini.

Apabila meninggalkan bangunan universiti, perkara pertama yang aku lakukan ialah mencari kerja. Aku telah pun menyusun strategi untuk menangani masalah yang sedang aku hadapi itu. Sehari suntuk aku gunakan seluruh tenaga ke sana ke mari mencari kerja.

Aku masuk ke sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam sehari yang terletak tidak jauh dari universiti. Hasrat mencari kerja segera aku nyatakan kepada juruwang yang berada di kaunter. Dia segera menemukan aku dengan pengurus yang bertugas.

Selepas sesi mengisi borang dan temuduga pendek berlangsung, pengurus itu menerima aku bekerja di situ. Aku meminta hanya diberikan shift malam dengan alasan pada siang hari aku akan menghadiri kelas. Permintaan aku itu turut diterima.

Selepas urusan pertama selesai, aku harus segera menyelesaikan urusan kedua iaitu urusan tempat tinggal. Aku masuk ke university, mencari Kasim dan menemuinya di bangunan akademik.

Aku bercerita kepada Kasim tentang keputusan peperiksaan yang aku terima. Berita aku diberhentikan juga aku khabarkan kepadanya. Tetapi bahagian faktor penyebabnya tidaklah aku ceritakan kerana ianya sangat mengaibkan buat diri aku.

Aku meminta bantuan Kasim untuk tinggal menumpang di biliknya buat sementara. Sebaik aku mendapat bilik sewa di luar, aku akan segera pindah.

Hang toksah dok kalut nak keluaq pindah, Alip. Hang dok la lama mana pun kat bilik aku tu. Kita ni dah kira macam adik beradik. Hang susah, aku pun ikut susah.” Aku segera memeluk Kasim kerana berasa terharu dengan jawapannya.

Sejak itu, aku pun tinggal di bilik Kasim pada waktu siang. Pada waktu malam aku keluar bekerja. Aku juga telah melengkapkan syarat-syarat permohonan rayuan dan segera menyerahkannya kepada bahagian akademik. Setiap hari aku akan ke pejabat Prof Halim untuk bertanyakan jawapan kepada rayuan tersebut kepada Puan Azizah.

Selepas hampir seminggu, akhirnya berita yang aku tunggu-tunggu muncul. Puan Azizah menyerahkan sepucuk surat kepada aku. Dengan hati yang berdebar, aku terus membaca surat itu. Kandungan surat itu menyatakan aku diterima semula belajar di universiti. Itu adalah satu berita yang menggembirakan.

Walau bagaimanapun, pihak fakulti tidak dapat menawarkan kursus yang sama seperti yang aku ikuti sebelum ini. Kursus yang aku akan ikuti ialah Diploma Perakaunan yang akan mengambil masa 3 tahun. Aku menerima tawaran itu dengan hati terbuka.

*****

Aku mengharung kesusahan untuk menghabiskan saki-baki pengajian. Tiada lagi layanan istimewa buat aku seperti dulu dan tiada lagi pembiayaan. Oleh itu, pekerjaan malam itu aku kekalkan untuk menampung pelajaran. Aku sering datang ke kelas dalam keadaan mengantuk.

Aku juga berpindah-randah menyewa bilik sepanjang menghabiskan pengajian tersebut. Hasil dari pekerjaan di kedai serbaneka itu, aku telah membeli sebuah motosikal. Kenderaan itu telah banyak memberikan kemudahan kepada aku.

Ibu dan ayah tidak tahu langsung perihal aku diberhentikan. Pada sangkaan mereka, aku masih lagi belajar kursus yang sama dengan menerima pembiayaan biasiswa. Biarlah mereka tidak diberitahu tentangnya. Kalau ikutkan hati, memang aku akan terus bekerja sepenuh masa sahaja apabila gagal tempoh hari. Segala ini aku lakukan untuk mereka berdua.

Bagaimanapun, aku berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh setahun setengah kerana banyak pemindahan kredit yang aku buat dari kursus ijazah yang aku ikuti sebelum ini. Purata gred yang aku perolehi ketika tamat pengajian melebihi B+. Walaupun gred itu baik, aku tidak lagi mempunyai keinginan untuk melanjutkan pengajian.

Selepas tamat belajar, aku diterima bekerja di sebuah firma audit di Ampang dengan gaji yang rendah. Walaupun gajinya rendah, tetapi aku dapat bertahan bekerja di sana sehingga tujuh tahun. Sejak mula aku bekerja di firma audit itu, aku pun berpindah ke flat yang menjadi rumah aku sekarang ini.

Selepas tujuh tahun melakukan kerja-kerja audit, aku terbaca iklan jawatan kosong di syarikat tempat aku bekerja sekarang ini. Selepas memohon, aku pun diterima bekerja di situ. Aku berasa selesa tinggal di flat murah tersebut dan tidak langsung berkeinginan untuk mencari rumah lain biarpun terpaksa mengharung perjalanan selama 30 ke 40 minit setiap hari untuk ke pejabat.

Kekecewaan aku terhadap kegagalan yang aku hadapi masih meninggalkan kesan yang mendalam walaupun telah beberapa tahun ia terjadi. Seluruh peristiwa itu membuatkan aku telah kehilangan semangat juang. Perjuangan untuk meningkatkan pencapaian diri yang dikejar oleh semua orang.

Setiap hari yang berlalu aku lalui dengan rasa puas hati. Puas hati dengan kerja di kedai serbaneka. Puas hati dengan kerja di firma audit. Puas hati dengan jawatan pembantu akaun yang bergaji rendah. Puas hati dengan rumah sewa aku sebuah flat murah.

Walaupun zahirnya aku berpuashati tetapi hakikatnya aku menyesal. Aku menyesal atas tahun-tahun yang aku lalui dalam keadaan begini. Apabila Maya muncul kembali, hati aku terus menjerit mengatakan dialah punca semua ini. Sekarang kalian pasti faham kenapa aku begitu marah terhadap wanita itu walaupun telah sekian lama perkara tersebut berlalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan