Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 21



“Alip, bangun! Kita dah sampai.” Maya mengejutkan aku.

Enjin kereta telah dimatikan. Kami telah pun berada di ruang porch rumah Maya. Selepas membuka pintu kami berdua bersusah-payah memanjat tangga ke tingkat atas. Aku mengikut sahaja langkah Maya ke dalam biliknya. Dunia aku berpusing-pusing.

Di bilik Maya, aku terus merebahkan badan ke atas katil gadis itu. Ini bukanlah sifat aku yang sebenar. Biasanya, aku tidak akan masuk ke mana-mana rumah atau bilik atau menggunakan barang-barang sebelum mendapat keizinan. Dalam keadaan mabuk, aku tidak lagi mempedulikan keizinan.

Maya membiarkan aku terbaring terlentang di atas katil. Gadis itu tampak tergesa-gesa memasuki bilik air. Aku terdengar suaranya muntah berkali-kali di dalam bilik air. Aku tidak mampu untuk bangun memeriksa keadaannya. Sedangkan keadaan aku sendiri pun mungkin lebih teruk berbanding dengan keadaan gadis itu.

Walau pun sedang berbaring, aku tetap berasa seolah-olah sedang dipusing-pusingkan di dalam mesin basuh gergasi. Aku memejamkan mata dengan harapan supaya kesan berpusing-pusing itu hilang. Dalam keadaan pening, aku terasa tangan Maya menyentuh. Gadis itu menanggalkan pakaian aku satu persatu. Aku membiarkan sahaja dia berbuat begitu. Menghalang tidak, membantu pun tidak.

Kemudian, aku terasa gadis itu menindih tubuh aku. Pakaian di badannya juga telah tiada. Kulit kami bersentuhan. Aku membuka mata. Dia merapatkan wajahnya ke wajah aku lagi seperti di kelab hiburan tadi. Bezanya, kali ini tiada lagi penonton yang akan bersorak melihat gelagat kami. Hanya kami berdua sahaja. Dalam samar-samar cahaya lampu jalan yang masuk ke bilik itu, pandangan kami bertemu.

Maya mengusap rambut dan kepala aku sambil berbisik,”I tau U nak kat I since the day U mula-mula tengok I dulu, kan?”

Aku mengangguk.

Well, here’s your chance. I want you, too.”

Aku terus merangkul tubuhnya dan mengucup bibir gadis itu.

*****

Aku telah pun sedar. Tetapi mata tetap aku biarkan terpejam. Kepala terasa sakit seperti dipukul dengan belantan besi. Keadaan sekeliling telah pun terang dengan cahaya matahari yang memasuki ruang bilik.

Aku meraba-raba. Untuk seketika aku terpinga-pinga apabila menyentuh tubuh yang tidak berpakaian. Cadar dan selimut yang menyentuh kulit juga terasa asing. Sejuk penghawa dingin membuatkan aku keliru.

‘Aku kat mana ni?’

Aku membuka mata dan melihat sekeliling. Mata aku mula mengecam suasana bilik kepunyaan Maya yang pernah aku lihat semalam. Ingatan aku terhadap perkara yang berlaku semalam datang satu persatu.

Apabila hampir semua cebisan-cebisan ingatan aku telah terkumpul semuanya, mulut aku dengan serentak mengucap, “Damn!”

Aku menoleh ke sisi kiri dan kanan. Maya tiada. Ke mana pergi gadis itu agaknya?

Tidak lama kemudian, pintu bilik yang dari tadi tertutup rapat, terbuka. Maya muncul. Gadis itu hanya memakai singlet putih dan seluar dalam hitam. Tangannya memegang dulang lengkap dengan pinggan berisi makanan dan segelas cecair berwarna oren.

Sambil tersenyum, gadis itu berkata, “Afternoon, lazy bum.”

Mendengar perkataan afternoon disebut, mata aku terbuka luas. Hilang terus rasa mengantuk.

Aku terus bertanya, “Pukul berapa sekarang?”

Dah pukul tiga.”

“Alamak! Aku dah miss tiga kelas hari ni.” Kepala aku terasa bertambah sakit berdenyut-denyut.

“Ala... rileks la. Nanti kita singgah la klinik, ambik MC.”

“Bukan masalah MC, Maya. Hari ni kelas pertama. First impression.”

Aku memegang kepala. Wajah aku berkerut. Terasa semakin berdenyut-denyut.

I buat brunch. Tapi I tak pandai masak sangat. So, fried eggs and orange juice je. Jom makan.”

Maya meletakkan pinggan dan gelas di atas meja sisi. Perut aku berkeroncong kelaparan. Bau telur goreng benar-benar membangkitkan selera. Aku segera duduk. Gadis itu melabuhkan punggungnya di atas tilam, betul-betul di sisi aku.

“Nanti kita gi klinik, ambik MC. Pastu I hantar U balik hostel.”

Aku mula menyenduk telur goreng yang hancur tidak berbentuk di pinggan dan menyuapkannya ke dalam mulut. Bagaimana rasa telur itu, tidaklah aku endahkan sangat kerana perut aku benar-benar lapar. Menyedari hanya ada satu sahaja sudu, aku pun menyuapkan juga ke mulut gadis itu. Begitulah aku bergilir-gilir menyuap makanan ke mulut dan ke mulutnya. Telur goreng yang tadinya membukit kini habis licin tidak tersisa.

Maya mencapai gelas dan meneguk sedikit jus oren yang terkandung di dalam gelas itu. Gadis itu kemudiannya menyerahkan gelas itu kepada aku. Aku turut meneguk sedikit.

Jom lepak kat bawah. I nak tengok TV, nak merokok. I tak merokok dalam bilik ni.” Gadis itu menarik tangan aku.

“Eh, tak nak la. Aku tak pakai baju la.”

Gadis itu lantas tertawa kecil dan berkata,”Aik! Sekarang U malu pulak? Malam tadi tak malu pun.”

“Apa jadi malam tadi?” Aku bertanya jujur kerana bahagian terakhir dari apa yang terjadi malam itu masih belum jelas di ingatan aku.

U tak ingat?”

“Aku tak berapa ingat. Saja nak confirmation kau jugak.”

“Kita projek.”

Pada peringkat ini, kalian mungkin akan berasa tidak puas hati kerana sejak tadi aku asyik menceritakan perihal perkara-perkara yang bertentangan dengan perilaku adab sopan. Kalian pasti mula berkata, di mana pengajaran dalam perkara-perkara itu? Sabar. Cerita-cerita itu semuanya adalah penting untuk menerangkan proses dan perkembangan yang berlaku.

Teruskan membaca kerana di penghujungnya kalian akan faham. Namun, untuk sampai ke penghujung, setiap lembaran tetap penting sebagai medium untuk sampai kepadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan