Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 16

Aku duduk di sofa sambil memerhatikan meja kopi di depan aku kerana di atasnya terdapat sebuah bekas abu rokok yang diperbuat dari kristal bernilai ratusan ringgit. Masih ada kesan abu rokok di dalamnya walaupun puntungnya tidak kelihatan di situ. Aku tertanya-tanya siapakah yang merokok? Adakah khabar angin tentang tabiat Maya yang merokok itu benar? Tetapi selama aku dan dia sama-sama bergaul, belum pernah aku lihat dia merokok. Bau rokok pun tidak pernah aku terhidu darinya.

Jam telah menunjukkan 9.10 malam. Badan aku terasa segar selepas mandi. Aku membelek pakaian baru yang tersarung di badan. Beginilah perasaan memakai pakaian mahal rupanya. Bersama-sama pakaian itu turut terbina sedikit sifat bangga dan besar diri dalam hati pemakainya.

Aku membatalkan niat untuk menonton TV. Sebaliknya aku bangkit berjalan ke arah gitar Yamaha yang tersandar.

Dah lama tak main, rasa gian la pulak,’ hati aku berbisik.

Aku capai alat muzik itu dan kembali duduk di sofa. Aku memeriksa instrumen tersebut. Warna hitamnya bersinar di bawah sinaran lampu. Tali-talinya usang.

Keenam-enam talinya aku petik satu-persatu perlahan-lahan dari atas ke bawah. ‘Sedap bunyi gitar ni.’ Aku menguji ketepatan bunyi setiap tali. Ketegangan tali yang tidak selari menyebabkan bunyi alat itu sumbang. Aku membetulkan talaan, yang juga biasa disebut sebagai tune dan menguji bunyinya berkali-kali. Keadaan gitar itu menunjukkan ia tidak dimainkan oleh sesiapa untuk jangka masa yang lama.

Aku sendiri tidak begitu mempercayai kadar kepekaan pendengaran aku kerana sudah terlalu lama aku tidak menyentuh instrumen tersebut. Seseorang yang setiap hari berlatih bermain alat muzik dengan tekun akan mempunyai pendengaran yang sangat sensitif. Sehinggakan bunyi sumbang yang sangat minor sekalipun akan dapat dikesan.

“Kira boleh la ni,” aku berkata sendirian.

Setelah berpuas hati dengan tuning yang aku buat, aku pun mula memetik gitar tersebut. Tiada kord-kord untuk lagu-lagu tertentu yang aku mainkan. Aku hanya mahu warm-up memainkan alat itu secara freehand atau lebih tepat diterangkan, memetik kod-kod secara rawak dan menghasilkan melodi-melodi solo secara spontan.

Aku memulakan petikan dengan perlahan. Agak kekok juga aku rasakan. Beberapa kali jari terpelecok tersalah menekan tali. Tetapi setelah beberapa lama, jari tangan aku telah terbiasa dengan kedudukan tali dan fret. Skil-skil yang terpendam kembali muncul.

Aku telah mula dapat menghayati petikan dan suasana yang tercipta, lalu aku pejamkan mata. Seketika kemudian, aku tenggelam dalam bunyi-bunyi petikan tali yang membentuk irama yang indah. Irama-irama yang terhasil seolah-olah bercerita. Dan penceritaannya semakin berlarutan. Babak demi babak bersilih ganti. Sedih dan gembira penuh dramatik. Konflik yang berakhir dengan perdamaian. Dan penceritaan pun berakhir…

“Wow!” Suara itu mengejutkan aku.

Aku membuka mata. Dia sedang duduk di sofa bertentangan dengan aku dan aku langsung terpegun memandangnya.

“Mana Maya?” aku bertanya.

“Ini I la,” kata gadis di depan aku itu dengan wajah keliru mendengar soalan aku.

Ye ke? Takkanla kau ni Maya. Maya tak cun macam kau. Kau ni bidadari kot.”

Dia tertawa kecil dan berkata, “Thank you.”

Gadis itu tampak jauh lebih cantik dari yang selalu aku lihat. Dia memakai dress pendek separas peha berwarna hitam yang seksi. Rambutnya yang panjang dilepaskan. Potongan dress itu mendedahkan bahu dan lurah di dadanya. Di tangannya tiada lagi beg tangan besar seperti selalu tetapi hanya beg kecil berwarna emas seperti buku nota yang digelar oleh kaum wanita sebagai clutch. Mekap di wajahnya lebih dominan daripada selalu. Cukup menggoda. Berkali-kali aku menelan air liur yang tak semena-mena menjadi pekat. Darah gemuruh datang lagi.

Kejapnya kau siap?” aku bertanya hairan dalam kepayahan melawan gemuruh.

Excuse me, darling! Cuba U tengok jam pukul berapa sekarang?”

Aku mengangkat lengan kiri untuk melihat nombor di paparan Casio G-Shock di tangan. 10.00. Dahi aku berkerut kerana keliru. Aku memandang wajah Maya juga dengan pandangan keliru.

“Haa… Tau pun. Pukul 9.45 tadi I dah siap. Tapi bila I turun, tengok U tengah feeling main gitar. I tak nak la kacau.”

“Dekat sejam aku main gitar?” Mungkin ada benarnya kata-kata Maya kerana jari-jari aku terasa sangat pedih sekarang.

Tapi bestla U main gitar tu. Nak nangis I dengar. Bunyinya macam sedih sangat. Lagu apa U main tu?”

“Lagu belasah je tu. Lagu spontan.”

U tak habis-habis buat I kagum.” Gadis itu memuji lagi.

“Semua tu takde apa-apa la, Maya. Aku merapu je tu.” Aku tetap cuba merendah diri. “Sekarang camana? Jadi ke tak?”

Mestila jadi. Tadi ingatkan kalau kita awal, dapat masuk masa happy hour. Sekarang dah kena bayar cover charge la.”

Sorry, Maya. Aku tak perasan.”

It’s okay. I pun enjoy jugak dengar U main gitar tu tadi. So, berbaloi la bayar cover charge malam ni

“Macam-macam la kau ni.”

Kami pun sama-sama berjalan ke pintu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan