Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 20

Selepas itu kami terus-menerus minum beberapa pusingan. Aku merasa panas di dalam perut. Tubuh berpeluh. Air liur menjadi pekat. Aku menyentuh kulit di lengan dan di wajah. Terasa kebas-kebas. Setiap kali mereka bersorak, aku akan turut serta bersorak. Tiada lagi debaran di hati. Yang ada hanya kegembiraan.

Tiba-tiba aku berasa loya. Aku diam cuba menenangkan diri. Maya menyedari perubahan itu.

Gadis itu terus berkata, “Don, bawak Alip gi tandas. Dia nak muntah tu.”

Dengan segera Don berdiri sambil menghulurkan tangan kepada aku dan berkata, “Jom Alip.”

Aku bergerak cuba mengikuti Don. Baru aku sedar, langkah aku menjadi lembik. Lantai yang aku pijak terasa lembut. Bersusah-payah aku cuba berdiri. Dunia terasa berputar. Aku hampir tersungkur tersandung sesuatu yang tidak lagi aku ketahui apakah ia. Don segera mencapai lengan aku.

Slow-slow, brader. Mula-mula memang macam ni.”

Aku mula berasa semakin tidak selesa. Isi perut aku bergelodak. Aku menutup rapat mulut yang mula berair agar isinya tidak terkeluar di situ. Tubuh aku berpeluh dingin. Don segera memimpin aku menuju ke tandas. Kami bergerak dengan susah payah melalui orang ramai yang bersesak-sesak menari.

Apabila kami melewati pintu masuk tandas, aku terkejut melihat ramainya orang berada di dalamnya. Ada tiga pintu tandas yang kesemuanya tertutup rapat. Kami menunggu. Aku tidak lagi dapat berdiri lalu terduduk di atas lantai yang tidak lagi aku peduli tahap kebersihannya sambil memegang kepala menahan pening.

Melihatkan keadaan aku, Don segera mengetuk salah satu pintu sambil berkata, “Excuse me! Emergency! Emergency!

Seorang lelaki India menghampiri dan memegang bahu aku, “Relax, man. Breathe in, breathe out.”

Pintu yang diketuk terbuka dan seorang lelaki keluar memapah seorang gadis seksi bersamanya. Aku lihat keadaan gadis itu jauh lebih teruk dari aku.

Ok, let’s go!” lelaki India itu membantu aku bangun dan membawa aku masuk ke dalam tandas.

Aku terus berlutut di lantai dan menghadapkan muka ke mangkuk tandas. Isi perut aku terus meluru keluar. Berkali-kali aku muntah. Mata dan hidung berair. Don dan lelaki India itu mengurut-urut belakang dan leher aku. Dalam keadaan kelam-kabut itu, rasa kagum tetap terselit di hati dengan sikap mereka yang memberikan sokongan kepada rakan-rakan yang sedang tumbang tidak kira sesiapa pun. Memang sesuailah taglineA world without strangers’ digunakan di sini.

Seketika kemudian, aku berasa lega dan tidak lagi memuntahkan apa-apa. Kedua-dua lelaki tadi menepuk bahu aku berkali-kali.

Lelaki India itu berkata, “There you go, man.”

Don pula menyampuk, “He’s a first-timer.”

Sambil ketawa, lelaki India itu berkata, “Congratulation!”

Aku cuba berdiri. Walaupun masih terasa berpusing, namun ianya tidak sesusah tadi. Aku keluar dari tandas dan membersihkan mulut dan muka di sink. Badan terasa lega selepas memuntahkan segala isi perut sebentar tadi.

Apabila kami menghampiri petak sofa, pemuda dan pemudi yang duduk di situ bersorak menyambut kedatangan kami. Aku mengangkat sebelah tangan kepada mereka dan senyum sebagai memberitahu mereka yang semuanya okey. Sebaik sahaja kami duduk, segelas lagi cecair diserahkan kepada aku. Ia adalah gelas yang berlainan dari sebelumnya. Saiznya lebih kecil. Cecair di dalamnya pula berwarna jernih.

“Minum lagi, minum lagi, pastu muntah. Minum lagi, minum lagi, pastu muntah. Senang je, Alip.” Linda memberikan tip.

Tanpa berfikir panjang, aku terus meneguknya. Tekak aku terasa panas disengat. Rasanya lebih teruk dari yang sebelumnya.

“Apa ni?” Aku berkata sambil mengerutkan wajah.

Shooting Tequila,” kata Ayu sambil ketawa.

“Teruk la korang ni,” kata aku turut ketawa.

Maya terus bangun dan menarik tangan aku. Aku ikut bangun dan mengikutinya. Perasaan menjadi hairan bagaimana tiada lagi bantahan lahir dari mulut aku.

“Girls, jom menari.” Maya menjemput gadis-gadis yang lain mengikuti kami. “You two boys, stay there. Jaga barang-barang, okey?”

You’re the man, Maya!” Jack menjerit.

Maya memimpin aku ke tengah lantai dansa. Gadis-gadis itu juga turut menyertai kami. Kami berhenti di satu ruang kosong. Gadis-gadis itu mengelilingi aku dan mula bergerak mengikut rentak lagu. Aku hanya berdiri memerhatikan mereka dalam keadaan kepala yang berpusing-pusing. Perlahan-lahan, rentak lagu discotheque yang bingit itu menjadi begitu dominan pada pendengaran. Dengan hanya berpandukan naluri, tubuh badan aku menjadi ringan dan mula bergerak mengikuti rentaknya.

Gadis-gadis itu menjerit, “Alright! Yeah, Alip!”

Aku menari bergilir-gilir dengan setiap gadis. Setiap gadis bergerak meliuk lentuk dengan gerakan-gerakan berahi di sekitar aku. Tubuh-tubuh itu aku sentuh sesuka hati tanpa perlu meminta kebenaran. Pertimbangan dan kesopanan yang aku pertahankan kian pudar.

Kami terus berseronok malam itu. Beberapa botol arak telah kami habiskan. Akhirnya kami pun bersurai pada lebih kurang jam dua pagi. Aku masuk ke kereta dan terus tertidur.

6 ulasan: