Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 33

“Macam berat je? Apa jadi?”

Dina bercerita. Menurutnya, ada dua perkembangan telah berlaku sejak awal pagi ini. Keduanya datang dari pihak-pihak berbeza. Tetapi keduanya ada hubungkait dengan aku.

Hal pertama datangnya dari Bahagian Jualan. Cindy dan pengurusnya, Bernard Lim telah membuat aduan kepada Pengurus Besar bahawa aku telah membuat cubaan untuk memperkosa gadis pegawai jualan itu.

Kononnya, perkara itu terjadi ketika Cindy dan Bernard Lim sama-sama bekerja lewat malam itu. Mereka sama-sama terlibat dalam menyiapkan laporan jualan penggal ketiga untuk tahun itu. Ketika Bernard pergi ke tandas, aku telah datang entah dari mana dan terus cuba mencabul gadis berbangsa Cina itu.

Nasib gadis itu baik, kerana Bernard telah kembali dari tandas dan segera bertindak menghentikan perbuatan keji aku itu. Lalu aku pun segera melarikan diri.

U percaya cerita diorang tu?” aku menyoal Dina.

“Langsung I tak percaya. Tapi masalahnya U pulak ponteng hari ni. Lagi la kuat diorang kata U tak datang sebab takut. Guard pun tulis report U balik tergesa-gesa malam tadi… bawak kereta laju pulak tu. GM pulak terus suruh diorang buat report polis. Tapi Cindy tak nak buat sebab U tak sempat buat apa-apa kat dia, katanya.”

Aku tenang mendengar tuduhan itu, lalu berkata, “Cerita kedua pulak?”

Dina meneruskan cerita. Dalam mesyuarat pagi ini antara pegawai-pegawai atasan Bahagian Perakaunan dengan bangsawan-bangsawan dari yellow zone, masalah timbul kerana dokumen-dokumen penting yang utama telah hilang. CEO dan GM telah mengamuk dengan hebatnya. Ianya kerana kes yang tertunda itu perlu diselesaikan dengan segera. Sekiranya mereka tidak dapat mengemukakan pembelaan dan kalah, tuntutan mahkamah yang dibebankan kepada mereka itu boleh mendatangkan kerugian yang besar kepada syarikat.

Bala, eksekutif yang dipertanggungjawabkan oleh Miss Silvia untuk menyiapkan laporan itu telah mereka kenyataan untuk mengelakkan dirinya dari dipersalahkan. Menurut Dina, Bala telah heboh ke sana sini dengan cerita yang dia telah pun menyiapkan laporan itu. Kononnya, ketika dia menyiapkan laporan itu, aku juga masih berada di pejabat melakukan sesuatu yang pastinya bukan kerja rasmi pejabat.

Apabila laporan telah selesai dicetak, Bala meninggalkan dokumen-dokumen itu tersusun rapi di mejanya dan terus balik. Aku pula terus berada di pejabat walaupun malam semakin lewat ketika itu. Dia dengan bersungguh-sungguh menuduh aku yang telah mencuri dokumen-dokumen itu dengan niat untuk mengotorkan imej bersihnya.

“Apa kata GM?”

Dina menyambung, “GM kata, kalau U tak contact office hari ni, diorang nak terminate U.”

*****

Aku termenung beberapa ketika selepas menamatkan perbualan dengan Dina. Ada juga manfaat sifatnya yang suka mengumpulkan berita-berita kepada aku hari ini. Terharu rasa mengenangkan kesungguhannya mengambil berat tentang kebajikan aku.

Dalam pada memikirkan jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, aku telah faham sebab-sebab perkara-perkara ini terjadi. Cindy dan Bernard adalah dua orang yang paranoid. Mereka pasti menyangka yang aku akan membuat aduan ke pihak atasan tentang kelakuan mereka. Atau lebih teruk lagi, mereka mungkin menyangka yang aku mungkin akan menggunakan maklumat itu sebagai modal untuk mengugut mereka di masa akan datang. Oleh itu, sebelum perkara buruk terjadi kepada, mereka terlebih dulu mengambil inisiatif menyerang aku. Sedangkan hal yang sebenar ialah aku sedikit pun tidak peduli dengan apa yang mereka lakukan.

Dalam hal Balakrishnan pula, eksekutif itu sebenarnya irihati dan berasa tergugat dengan aku sejak awal-awal lagi. Puan Adlina dan Miss Silvia telah beberapa kali bertanya kepada aku sama ada aku berminat untuk membuat kerja-kerja di peringkat eksekutif. Tawaraan itu dibuat berdasarkan pengalaman dan potensi aku. Sekiranya aku berminat, mereka akan melatih dan memberikan rekomendasi ke pihak atasan untuk perkara itu. Beberapa kali mereka menawarkan, beberapa kali juga aku menolak. Bala berasa tergugat dengan perkembangan itu.

Apa yang mereka bertiga lakukan kepada aku sangat melampau. Aku begitu marah kepada mereka bertiga. Aku juga marah dengan keadaan. Sifat baik aku sering disalahguna. Aku dipijak-pijak dan dibuli oleh manusia-manusia yang ingin memanjat ke atas. Aku berasa jemu dan bosan dengan kerenah, drama dan skandal di dunia korporat. Akhirnya, aku telah menemui jalan penyelesaian. Aku tahu apa yang perlu aku lakukan.

Aku mencapai telefon dan segera menyemak nama-nama dalam phonebook. Nama yang diinginkan telah aku temui. Hujung jari menyentuh ikon Call dengan lembut.

“Assalamu alaikum Puan Adlina.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan