Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 35

Bunyi bising hingar-bingar di luar tingkap rumah mengejutkan aku. Bau harum rambutnya menyegarkan suasana pagi Sabtu. Aku merangkul pinggang gadis di sebelah supaya rapat ke tubuh. Keluhan terluah dari mulutnya. Dia juga telah terjaga.

Morning,” aku menyapa.

Morning.”

Jom breakfast.”

I kena balik. Ada hal.”

Tak sempat breakfast dulu ke?”

Sorry, dear. Lain kali, okey?”

Gadis itu bingkas bangun dan terus menuju ke bilik air tanpa mengenakan pakaian. Aku turut bangun dan segera menyingkap langsir. Cahaya yang menerobos masuk menyakitkan mata sehingga terpejam-pejam berkali-kali. Seketika kemudian, barulah mata aku biasa dengan cahaya terang itu dan dapat melihat seperti biasa.

Aku kembali duduk di katil sambil memandang ke seluruh ruang bilik. Pakaian aku dan pakaian gadis itu berselerak di lantai. Pandangan terhenti pada gitar yang tersandar di stand. Untuk seketika aku teragak-agak, kemudian mencapai alat muzik itu.

Baru saja aku ingin mula memetik, sesuatu di atas meja kecil di tepi katil bergegar. Aku memandang ke arah gegaran itu. Telefon kepunyaan gadis itu bergetar kerana berada dalam mode senyap. Aku tidak berminat untuk memeriksa siapa yang memanggil. Ia sememangnya bukan urusan aku.

“Dina, your phone!” Aku melaung, memanggil gadis itu.

Sekarang, mungkin kalian faham, mengapa gadis penyambut tetamu itu hanya mahu merokok bersama aku. Dan mengapa dia memberitahu Maya dia mengenali aku luar dan dalam. Buddy system yang kami wujudkan itu, bukan sahaja terhad kepada menjadi teman kepada aktiviti merokok, bahkan banyak lagi aktiviti lain.

Gadis itu juga sering datang bermalam di rumah aku. Hubungan intim itu juga termasuk dalam sistem yang kami wujudkan. Tiada perasaan cinta yang wujud. Hanya persefahaman untuk memenuhkan keperluan masing-masing. An aid for loneliness.

Aku mula memainkan gitar. Jari-jari memetik kord-kord lagu Soldier of Fortune dendangan asal Deep Purple dengan lancar. Dina masuk ke bilik untuk mendapatkan telefon pintarnya. Telefon itu telah berhenti bergegar.

“Siapa call?” gadis itu bertanya.

“Mana I tau. I don’t nose around, remember?”

Dia mencapai telefonnya dan menyentuh-nyentuh paparannya beberapa kali. Senyuman menguntum di wajahnya ketika melihat paparan alat itu.

I kena gerak dah la U,” ujarnya.

“Okey. Same time, tomorrow?”

“Mmm… Nanti I call U dulu.”

Dina yang dari tadi berbogel mula mengenakan pakaian ke tubuh langsingnya. Aku meletakkan gitar lalu turut mengenakan pakaian. Dia mengadap cermin di dinding bilik dan mula memperelokkan wajahnya.

How do I look?”

U tak payah buat apa-apa pun tetap cantik.”

U memang sweet talker,” ujarnya sambil tersenyum.

Aku menghantarnya ke pintu. Sebaik kunci dibuka, gadis itu memeluk dan mencium pipi aku dengan mesra.

Bye, honey,” katanya lalu bergerak meninggalkan aku.

Aku mengunci pintu dan berjalan ke dapur. Tiada makanan di peti sejuk. Yang ada hanya sekotak susu.

“Susu pun, susu lah.”

Aku mengambil gelas lalu duduk di meja makan. Empat botol beer yang telah kosong terletak di atas meja. Tangan aku menuang susu ke dalam gelas. Isi kandungan kotak itu hanya dapat memenuhi tiga per empat gelas. Aku mengeluh sambil meletakkan kotak yang telah kosong ke atas meja. Selepas membasahkan tekak dengan seteguk susu, aku menyalakan rokok. Asap yang berkepul-kepul terbang ke udara membawa fikiran aku melayang-layang.

Sejak berhenti kerja, aku tidak melakukan apa-apa setiap hari. Setiap hari adalah hujung minggu bagi aku. Ia terus berlalu tanpa ada rasa tanggungjawab. Masih belum ada niat di hati untuk mencari kerja baru. Aku mahu mencari ketenangan tanpa tekanan kerja.

Sejak mula bekerja di firma audit beberapa tahun dulu, hidup aku adalah satu set rutin yang berjalan secara otomatik. Tak ubah seperti robot.

Setiap bulan, aku mengatur perbelanjaan aku dengan teliti. Sebagai seorang yang membina kerjaya dalam bidang perakaunan, ia adalah kelebihan bagi aku dalam mengatur perjalanan kewangan. Pendapatan yang aku terima adalah kecil. Tetapi tetap aku atur dengan baik. Setiap bulan masih dapat aku membuat simpanan.

Di kala orang lain bersungguh-sungguh mempamerkan kemewahan walau hakikatnya mereka dalam kesempitan, aku tidak langsung berhajat mengikuti mereka. Aku berbelanja sehabis jimat. Orang lain telah mula bergaya dengan kereta ke sana sini tapi aku masih tetap tabah bermotosikal.

Ketika orang lain sibuk membuat pinjaman membeli rumah, aku juga turut membuat pinjaman. Walau bagaimanapun, pinjaman yang aku buat bukanlah untuk membeli harta tetapi untuk dilaburkan ke Amanah Saham yang menawarkan pulangan jangka panjang yang lumayan.

Pada tahun kelima ketika di firma audit, aku telah melangsaikan hutang biasiswa dengan wang simpanan. Apabila aku mendapat kerja di Shah Alam, barulah aku terfikir untuk membeli kereta. Duit yang ada dalam simpanan aku ketika itu aku gunakan untuk membeli sebuah kereta terpakai secara tunai.

Kereta buruk yang aku beli sering dipandang hina oleh sesiapa saja. Namun aku langsung tak ambil kisah dengan pandangan mereka. Pada tahun kedua dan ketiga perkhidmatan di syarikat itu, keadaan ekonomi begitu baik sehinggakan bonus dibayar dua kali setahun dengan jumlah yang besar.

Kebanyakan warga syarikat yang lain terus boros menggunakan wang bonus mereka. Aku tidak membuat apa-apa rancangan terhadap wang itu lalu terus disimpan. Hanya sebahagaian sahaja aku ambil untuk membaiki kereta buruk itu dan melangsaikan pinjaman Amanah Saham.

Pada usia hampir mencecah empat puluh, aku masih belum berkahwin. Tetapi aku tidak keluar berfoya-foya seperti lelaki-lelaki bujang yang lain. Masa aku banyak dihabiskan di rumah. Menonton filem dan membaca buku. Hanya sekali sekala aku keluar berhibur. Itu pun dengan perbelanjaan yang dikawal dengan ketat.

Dina pernah berkata kepada aku, “U lah orang paling kedekut pernah I jumpa.”

Gaji bulanan aku kini lebih dari cukup untuk menampung kos bulanan yang sememangnya rendah. Lebihan wang gaji juga tidak pergi ke mana-mana melainkan tersimpan. Aku dilihat sebagai seorang yang tidak punya apa-apa. Tetapi hakikatnya, aku merupakan seorang yang seratus peratus bebas dari apa-apa hutang.

Pada hari ini, ketika aku tidak lagi bekerja, wang simpanan itu mula memainkan peranannya. Sedikit demi sedikit simpanan aku terpakai untuk menyara perbelanjaan harian dan bulanan.

Setelah bebas dari cengkaman kehidupan korporat, aku berasa bebas. Hidup itu penuh kepura-puraan. Zahirnya hidup aku kini penuh kerehatan dan ketenangan. Aku bebas berbuat apa saja termasuk perkara-perkara yang tidak halal.

Namun, jauh di sudut hati, aku mengaku… aku sebenarnya belum beroleh ketenangan yang aku inginkan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan