Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 6

Setiap hari aku masuk bekerja seawal pagi, keluar dari pejabat selepas matahari terbenam dan bekerja seperti keldai pemikul barang. Kerja-kerja perakaunan adalah seperti sebuah loji pembersihan najis. Kotoran-kotoran dari pelbagai tempat berkumpul di kolam loji dan dirawat menjadi air bersih.

Transaksi-transaksi dari semua bahagian akan berakhir di perakaunan. Semua kesilapan-kesilapan akan dibetulkan di situ. Rekod-rekod tidak lengkap akan diaudit di situ. Perkara-perkara yang menimbulkan keraguan akan disiasat oleh orang-orang yang ada di situ. Pendek kata, di situlah tempat merungkai segala kekusutan. Tenaga kerja di situ yang dikerah untuk merungkai kekusutan-kekusutan tersebut adalah marhain-marhain seperti aku.

Ketahanan mental aku sering diuji di situ. Aku adalah ibarat spesimen ujian yang boleh diperlakukan apa sahaja oleh penguji-penguji.

Penguji yang pertama yang diberikan penghormatan untuk memainkan peranannya ialah akauntan syarikat, Miss Silvia. Wanita yang mengetuai kami itu sangat cerewet orangnya. Sangat susah untuk memenuhi kehendaknya.

Apa-apa sahaja kerja yang diberikannya tidak pernah menjadi kerja yang mudah. Sekiranya kerja telah disiapkan ia pasti disunting dengan begitu menyeluruh sehinggakan setiap inci kerja yang dibuat seolah-olah penuh dengan kesalahan. Tegurannya kadang-kadang tidak dapat diterima akal kerana beliau membetulkan perkara-perkara yang kurang penting pada pandangan mata kakitangan yang rendah nilai seperti aku.

Namun apalah yang boleh aku buat melainkan bersabar dan menurut sahaja kerana jawatannya yang membenarkan dia berbuat demikian.

Tak cukup dengan kerenah Miss Silvia, Balakrishnan yang menjadi pegawai atasan aku boleh juga aku ibaratkan sebagai seorang penguji yang mahir. Ucapannya hebat tetapi kerjanya sifar. Segala kerjanya dibuat oleh aku. Setiap kali selepas berbincang di bilik Miss Silvia atau di bilik Puan Adlina, lelaki India itu akan terus ke meja aku dan menyerahkan kerja yang diterimanya kepada aku.

Bala ialah seorang yang sangat licik. Antara kemahirannya yang tidak disenaraikan di dalam resume beliau ialah keupayaan menepis beban kesalahan dan mengalihkannya kepada aku. Sangat bijak dia memberikan hujah hinggakan semua orang yakin kesalahan yang berlaku dalam seksyen penerimaan adalah kesilapan aku.

Selain itu, dia juga adalah seorang pencuri idea yang sempurna. Apa-apa cadangan baru yang aku usahakan untuk diserahkan kepada Miss Silvia akan ditapis olehnya. Sedar-sedar sahaja idea itu telah dilaksanakan dan bila ditanya siapa yang mencadangkan perkara tersebut, jawapan yang aku terima ialah Bala.

Lelaki itu juga tidak merasa segan dan silu menceritakan kehebatannya di khalayak ramai walaupun dia sedar tentang kewujudan aku dalam kumpulan yang sedang khusyuk mendengar kisah dongeng beliau. Kononnya, dia telah berfikir bersungguh mengilhamkan cadangan-cadangan tersebut demi untuk kemajuan syarikat.

‘Wow, Kau memang hebat, macha!’ begitulah kata hati aku setiap kali perkara sebegitu terjadi.

Fariza Isha pula adalah sebagai penambah rencah kepada ramuan yang telah sempurna. Kerani kami yang kecil molek, berwajah ayu dan gemar berbaju kurung tetapi tidak pernah aku lihat mengenakan tudung itu seorang yang sangat perlahan kerjanya.

Gadis itu sering dimarah oleh kedua-dua Miss Silvia dan Bala. Bahkan Puan Adlina, David Leong, Iris Chong dan Anabelle Lau juga kadangkala suka masuk campur dan memarahinya. Hanya aku, Suhairy Mazlan yang berperwatakan alim lengkap berkopiah serta berdahi hitam kesan banyak bersujud dan kerani-kerani lain sahaja yang tidak pernah memarahi gadis itu.

Aku pula sekadar memberikan arahan dan memerhatikannya bekerja sahaja. Selepas beberapa ketika aku akan mengambil alih kerjanya kerana tidak sabar menunggu. Gadis yang mesra dengan panggilan Iza itu kerap mengucapkan terima kasih kepada aku berulang kali kerana sering membantu menyiapkan kerja-kerjanya.

Kalian mungkin mengatakan aku ini ibarat wira Melayu yang membela nasib wanita yang lemah. Tetapi sebenarnya aku hanya sekadar menyelamatkan tengkuk sendiri kerana sekiranya kerja gadis itu terbengkalai, bermakna kerja aku sebagai orang atasannya juga turut terbengkalai.

Di kalangan kakitangan-kakitangan syarikat dari bahagian-bahagian lain pula tiada yang mendatangkan banyak masalah. Sekali-sekala sahaja aku menerima dokumen-dokumen tidak lengkap dari bahagian-bahagian tersebut. Ia biasanya diselesaikan dengan komunikasi yang baik.

Begitulah keadaan aku di tempat kerja. Di penghujung hari, ketika tiba di rumah, aku akan terbaring lesu di katil. Seluruh tenaga aku seolah-olah telah habis disedut keluar oleh segala drama yang berlaku di tempat kerja.

Selepas bercerita panjang lebar tentang keadaan tempat kerja, kalian mungkin tertanya-tanya mengapa aku hanya menjawat jawatan pembantu akaun sahaja kerana kelayakan minima yang ditetapkan dalam industri pekerjaan bagi seorang pembantu akaun ialah diploma. Sedangkan pada permulaan cerita ini aku menerangkan yang aku mengambil kursus ijazah dengan biasiswa istimewa dan berbagai-bagai lagi kisah mitos yang kononnya aku ini hebat dalam pelajaran.

Kalian pasti berkata, sepatutnya aku sekarang memegang jawatan pembantu akauntan atau sekurang-kurangnya jawatan eksekutif sebagai langkah awal untuk mendaki ke atas. Aku harap kalian dapat bersabar dan teruskan membaca. Semuanya akan aku terangkan di lembaran-lembaran seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan