Kalendar Hijrah

Bilangan Pelawat

Baca online

Beg Tangan Gucci: Bab 9

Siri-siri belajar dan mengajar pun berjalan sepanjang semester itu. Hampir setiap hari aku dan Maya bersama di bangunan fakulti. Selalunya aku akan mengajarnya di perpustakaan kampus pada waktu lapang yang sama antara waktu-waktu kelas aku dan kelasnya. Gadis itu banyak mengulang subjek-subjek asas semester pertama dan kedua. Aku memberikan penumpuan dalam memastikannya memahami konsep asas.

“Bila kau faham konsep-konsep asas ni, subjek-subjek akan datang course ni pun jadi senang nanti,” terang aku kepadanya.

Maya mendengar dengan tekun setiap perkara yang aku terangkan. Setiap latihan yang aku berikan kepadanya dibuat dengan taat. Pada awalnya aku melihat dia melalui kesukaran ketika cuba menjawab soalan-soalan latihan yang aku berikan. Namun, dengan bimbingan yang betul dan latihan bertubi-tubi, apa sahaja yang susah akan jadi mudah.

Begitu juga keadaannya dengan gadis itu. Prestasinya meningkat hasil dari kesungguhannya. Dia sering menunjukkan kertas-kertas jawapan ujian dan kuiz yang diambilnya. Markah-markah yang diperolehinya bertambah baik. Aku berbangga dengan pencapaiannya.

Aku juga menasihatinya supaya mengurangkan aktiviti malamnya namun aku terkejut pula apabila dia menerima nasihat aku. Awalnya, aku menyangka gadis itu mungkin akan berdegil jika ditegur tentang soal aktiviti malamnya. Ternyata sangkaan aku itu salah. Dia tidak lagi keluar malam dan hubungannya dengan lelaki-lelaki yang selalu mendampinginya juga telah diputuskan. Maya hadir ke fakulti dalam keadaan segar setiap hari hasil dari perubahan gaya hidupnya.

Walau apa pun, kerja-kerja menjadi tutor peribadi itu ada akibatnya. Aku sendiri terpaksa bekerja keras bagi memastikan pelajaran aku berada di tahap terbaik seperti sebelumnya. Oleh itu, sepanjang semester itu aku sering tidur lewat kerana belajar. Waktu tidur aku telah dikorbankan bagi menggantikan waktu belajar yang aku gunakan untuk mengajar Maya. Akibatnya, aku sering rasa mengantuk ketika di kelas. Walaupun keadaan itu susah bagi aku, tetapi aku tetap merasa puas kerana pengorbanan itu berbaloi.

*****

Sebaik sahaja selesai mengambil kertas terakhir peperiksaan akhir semester itu, aku pulang ke kampung untuk bercuti. Sepanjang tempoh cuti, aku tidak berhubung dengan Maya. Sedikit sebanyak aku merinduinya.

Beberapa minggu kemudian, aku menerima keputusan peperiksaan yang dihantar ke alamat rumah melalui pos. Aku menarik nafas lega apabila melihat huruf A di sebelah setiap nama subjek yang aku ambil.

Walaubagaimanapun, aku merasa kurang senang apabila mendapati gred A- mengekori dua subjek yang aku ambil. Nampaknya sesi pengajaran yang aku berikan kepada Maya sedikit sebanyak mempengaruhi tumpuan aku dalam pelajaran.

Seminggu selepas aku menerima keputusan peperiksaan tersebut, hari pendaftaran bagi semester baru pun tiba. Aku hadir awal seperti biasa. Tidak sampai satu jam proses pendaftaran pun selesai. Aku telah tahu subjek apa yang akan aku ambil sejak dari semester lepas lagi. Bahkan sedikit sebanyak maklumat tentang subjek-subjek semester kelima itu telah pun aku selidiki secara ringkas sebagai persediaan.

Aku telah menceritakan kepada kalian secara ringkas sebelum ini, jadual aku adalah begitu ketat dan sibuk sejak di hari pertama pendaftaran lagi. Biasanya, selepas pendaftaran, aku akan segera menemui pensyarah-pensyarah yang akan mengajar aku untuk semester itu. Selepas berkenalan dengan mereka, aku akan terus meminta senarai buku dan juga apa-apa tip berkaitan subjek-subjek yang mereka kendalikan. Kemudian, aku akan berkurung di perpustakaan untuk membuat bacaan awal dan membuat nota-nota. Aku juga tidak lupa untuk merangka soalan-soalan yang aku akan tanyakan kepada pensyarah-pensyarah di dalam kelas. Begitulah sibuknya jadual pada hari pertama semester bagi aku.

Keadaan bagi kebanyakan pelajar-pelajar lelaki yang lain di kampus pula sangat berbeza dengan keadaan aku. Sebaik selesai mendaftar, mereka akan pulang ke asrama untuk berehat. Sebahagiannya pula akan bersidai di bangunan fakulti tanpa membuat apa-apa selain menjamu pandangan mata mereka dengan melihat-lihat pelajar-pelajar perempuan yang baru mendaftar. Penumpuan serius terhadap pelajaran hanya akan mereka berikan pada minggu kedua selepas pendaftaran.

Bahkan ada juga pelajar-pelajar yang menganggap pelajaran akan hanya mula menjadi serius pada minggu ketiga. Sebelum segalanya menjadi serius, mereka akan menghabiskan masa mereka dengan berseronok dan berpesta. Aku cemburukan mereka tetapi aku tidak mampu untuk menyertai mereka kerana akibatnya akan pasti menyusahkan aku kelak.

Namun semester kelima pengajian menyaksikan perubahan kepada keseluruhan rutin jadual aku. Semuanya disebabkan oleh Maya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan